Ziana Zain Berdikir Barat

KUALA LUMPUR, 5 JUN 2012: Buat julung kalinya Festival Muzik Kuala Lumpur 2012 (FMKL 2012) anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKNN) bakal mengetengahkan seni Dikir Barat sebagai tema utama festival tersebut.

Ketua Pengarah JKKN , Datuk Norliza Rofli berkata dikir barat merupakan kelainan yang menarik untuk diketengahkan, lebih-lebih lagi apabila ia dipersembahan oleh barisan penyanyi popular seperti Ziana Zain, Azlan and Typewriter, Awie dan lebih 22 orang artis lain.

" Sebelum ini pelbagai jenis muzik sudah kami ketengahkan dan kali ini dikir barat dipilih selepas dilihat dapat menyatukan semua orang menerusi alunan dan stail muziknya yang meriah dan menghiburkan.

"Lagipun tujuan kami adalah untuk memartabatkan khazanah muzik Malaysia.

"Lebih membanggakan nilainya yang bertaraf global itu adalah berasal dari salah sebuah negeri di negara kita iaitu Kelantan

"Menariknya buat pertama kalinya kita akan melihat bagaimana penyanyi popular seperti Ziana Zian akan mengadakan persembahan atau menyanyi mengikut lenggok dan cara gubahan muzik dikir barat ," katanya.

Penganjuran untuk tahun keenam itu akan berlangsung di Panggung Sari Istana Budaya pada 1 dan 2 Julai ini.

Festival yang bertemakan Dari Desa ke Istana itu merangkumi Ekstravaganza Dikir: Segalanya Dikir! di Istana Budaya, Dir... Koir Kebangsaan (Auditorium DBKL), Asean Traditional Music Camp (Pusat Pelancongan Malaysia) dan KL Indie Music Fest.

Tidak ketinggalan menyusul selepas itu adalah persembahan koir Dir oleh Koir Kebangsaan di bawah pimpinan penyanyi dan guru vokal Syafinaz Selamat yang akan diadakan pada 7 dan 8 Julai di Auditorium DBKL.

Manakala persembahan daripada ASEAN Traditional Music Camp (ATMC) pula diadakan pada 11 hingga 15 Julai di Pusat Pelancongan Malaysia.

Sementara KL Indie Music Fest yang menawarkan pesta muzik kepada muda mudi pula menampilkan 15 kumpulan bebas baru dan lama yang akan berlangsung pada 8 Julai di lokasi yang akan diumumkan kelak.

Maklumat lanjut mengenai festival dan tiket boleh didapati dengan melayari laman www.klfestival.org.my bermula 1 Jun.

Akhbar: 
Murai
Publish date: 
Tuesday, June 5, 2012