Ziana Zain Bakal Bongkar Rahsia Kecantikan

Teks oleh Syafiqah Jalal

KUALA LUMPUR, 3 JUN 2012: Setelah dituduh mencucuk botox ke dalam wajahnya, penyanyi popular, Ziana Zain, 44, bakal keluar dengan sebuah produk atau formula makanan dalaman untuk penjagaan dari rahsia kecantikannya sendiri.

Ziana Zain berkata, sudah tiba masanya untuk dia berkongsi rahsia kecantikannya yang selama ini menjadi tanda tanya ramai pihak termasuk peminatnya.

"Idea menghasilkan produk kecantikan ini setelah saya didatangi soalan yang sama iaitu bagaimana saya menjaga kecantikan diri daripada ramai pihak.

"Lagipun saya mahu produk ini memberi kebaikkan kepada semua orang yang bukan hanya menjaga kecantikan luaran tetapi dalaman," katanya yang ditemui selepas sidang media Festival Muzik Kuala Lumpur 2012 (FMKL 2012), baru-baru ini.

Produk yang dikeluarkan di bawah syarikat miliknya sendiri iaitu Ziana Ventures Sdn Bhd itu dijangka akan dilancarkan pada penghujung Jun ini.

Tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai produk kecantikan terbarunya itu, kakak kepada Anuar Zain itu berkata dia menghadapai pelabagi proses yang agak mencabar untuk menghasilkannya.

"Saya berganding dengan seorang pakar kecantikan dan dia membantu saya mengformulakan makanan tambahan untuk penjagaan kecantikan dalaman ini.

"Kami mengambil masa selama lebih lima bulan untuk menyiapkan segala proses daripada kandungan hinggalah pembungkusan termasuk mendapatkan logo halal daripada JAKIM.

"InsyaAllah sebelum Syawal nanti saya akan melancarkan sebuah produk kecantikan wanita dan lelaki yang diformulakan daripada herba dan makanan amalan saya dari dahulu.

"Apa-apa pun kalau nak tahu lebih lanjut orang ramai perlulah menanti saat ianya dilancarkan nanti," jelasnya lagi.

Mengenai perkembangan lain, Ziana Zain bakal beraksi di Panggung Sari Istana Budaya sempena FMKL 2012 sebagai Artis Jemputan Dikir Pop pada I Julai ini.

Akhbar: 
Murai
Publish date: 
Sunday, June 3, 2012