Yaya pilih dunia tarian

Bidang yang diminati sejak di bangku sekolah

 
 
 
 
 
 
 
 
 
q
q
 
 
MELIHAT susuk tubuh gadis berketinggian 167 sentimeter ini, tidak mengejutkan apabila dia mengakui menjadikan bidang tarian sebagai kerjaya.

Berkebolehan menari apa jua rentak lagu yang diberikan, Wan Nur Syamira Wan Baharuddin atau lebih mesra dengan panggilan Yaya merupakan seorang penari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) sejak beberapa tahun lalu.

Mempunyai pakej lengkap, cantik, tinggi dan langsing, dia turut ‘memanfaatkan’ kelebihan yang ada dengan melibatkan diri dalam dunia peragaan.

Sememangnya meminati kedua-dua bidang tersebut sejak kecil, Yaya bersyukur kerana dapat memenuhi impian itu sebaik sahaja tamat sekolah tingkatan lima.

“Sejak kecil saya suka menari. Mungkin minat tersebut sedikit sebanyak turut dipengaruhi oleh ibu saya yang juga seorang penari satu ketika dahulu.

“Malah, ketika meluahkan hasrat menjadikan bidang tarian sebagai kerjaya, ibu memberi restu dan menyokong hasrat tersebut,” ujar anak kelahiran Kuala Terengganu ini.

Buat masa ini, walaupun bernaung di bawah JKKN, khidmat Yaya lebih tertumpu bersama JKKN Terengganu.

Atas sebab itu juga, dia lebih cenderung kepada tarian tradisional, seiring dengan negeri kelahirannya yang cukup kaya dengan tradisi dan kesenian.

Begitupun, dia masih boleh menggerakkan badan mengikut apa jua muzik dan melodi yang diberikan.

“Apabila bergelar seorang penari kita seharusnya mampu menari pelbagai jenis rentak muzik tidak kira moden mahu pun tradisional.

“Saya bangga kerana penglibatan dalam bidang seni ini mampu membantu memperkenalkan tarian-tarian tradisional rakyat Terengganu bukan sahaja kepada masyarakat tempatan, bahkan pelancong asing. Secara tidak langsung saya menjadi duta kecil kepada negeri kelahiran saya,” sambungnya sambil tersenyum manis.

Yang pasti, penglibatan Yaya dalam bidang tersebut sejak lima tahun lalu turut memberi 1001 kenangan manis.

Antara yang sukar dilupakan apabila beberapa kali dipilih menyertai rombongan kebudayaan ke luar negara bagi mempromosi Malaysia di mata dunia.

Dalam pada itu, sesi fotografi di Studio Utusan pada petang itu sebenarnya merupakan pertemuan kali kedua kami.

Pertemuan pertama berlaku pada tahun lalu apabila Yaya menjadi model kepada pakaian tradisional sebuah butik di ibu negara.

Ketika itu Yaya belum mengenakan hijab, namun kali ini penampilannya agak berlainan malah kelihatan lebih ayu.

Menurut anak tunggal ini, ‘penghijrahan’ yang dilakukan adalah dengan keikhlasan hati dan tiada paksaan daripada mana-mana pihak.

Katanya, sudah sampai masanya untuk berhijab dan bersyukur kerana pada usia 23 tahun dia telah menemui petunjuk-Nya.

Merujuk perkembangan terbaharu itu, Yaya tidak lari diaju dengan soalan tentang masa depan kerjayanya sebagai penari.

“Kita lihat bagaimana nanti,” jawabnya ringkas.

Bercerita pula mengenai pembabitan dalam dunia peragaan, katanya, jika sebelum berhijab dia akan menerima semua jenis fesyen untuk diperagakan, tetapi selepas ini hanya akan menggayakan fesyen-fesyen Muslimah.

Selain itu, dia juga sedang berusaha mengorak langkah dalam dunia perniagaan dengan mengusahakan perniagaan baju bersama rakan kongsinya.

Memulakan perniagaan tersebut secara sambilan, Yaya menjelaskan baju yang dihasilkan adalah baju sedia dipakai (RTW) dan akan keluar dengan koleksi terbaharu selepas hari raya ini.

“Perniagaan baju ini diletakkan di bawah jenama Magna yang membawa maksud hebat dalam bahasa latin dan buat masa ini diusahakan secara dalam talian.

“Insya-Allah selepas hari raya ini kedai akan menyusul dan apa yang dilakukan ini (berniaga) adalah sebagai persediaan awal sekiranya tidak lagi aktif dalam bidang seni mahu pun peragaan,” katanya.

Berbual mengenai sambutan Ramadan dan Syawal tahun ini, Yaya, yang melangsungkan perkahwinan awal tahun ini, memberitahu dia akan beraya bersama-sama keluarga mentua di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Gembira dengan statusnya sekarang, dia turut mengambil kesempatan pada Ramadan ini untuk menyediakan sendiri juadah berbuka dan bersahur buat suami tercinta.

Menyatakan bahawa dirinya cukup bertuah mempunyai seorang suami yang cukup memahami, Yaya menjelaskan tidak rugi mengakhiri zaman bujangnya di usia muda.

“Memang ramai yang berkata 23 adalah terlalu muda untuk menamatkan zaman bujang tetapi sudah sampai seru, jadi rasanya tak salah.

“Lagi pun kami (bersama suami) sama-sama terlibat dalam bidang peragaan, jadi tiada istilah berhenti kerja selepas berkahwin kerana suami mengizinkan saya meneruskan kerjaya dalam bidang ini.

“Malah dia merupakan orang kuat saya hari ini yang sentiasa menyokong apa jua yang saya lakukan,” ujarnya lagi yang akan mengikut suaminya berpindah ke Kuantan, Pahang.

- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/yaya-pilih-dunia-tarian-1.1...

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Wednesday, July 1, 2015
Kemas kini terakhir: 04 December 2019, 08:23pm
Facebook JKKN Instagram JKKN Youtube JKKN Twitter JKKN RSS JKKN