Wayang Kulit Perlu Diberi Perhatian Untuk Elak Pupus - Pensyarah

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Persembahan wayang kulit di negara ini boleh pupus jika tiada perhatian khusus diberikan oleh pihak berkenaan, termasuk memberi nafas baharu untuk menjadikan seni warisan itu mudah didekati generasi muda.

Pensyarah Pusat Kebudayaan Universiti Malaya Prof Dr Ghulam Sarwar Yousof berkata antara langkah yang boleh mengembalikan kegemilangan wayang kulit negara ialah dengan mengubah konsep dan jalan cerita persembahan itu termasuk memasukkan unsur keislaman.

"Persembahan wayang kulit banyak menggunakan ritual, ada mentera...kalau kita buat cerita baharu, maka Tok Dalang tidak perlu gunakan mentera. Jika kita hendak memodenkan wayang kulit dengan cerita baharu, pihak berkenaan perlu mendalami seni itu dengan memastikan isi kandungan, sudut cerita dan persembahan lebih segar dan baharu. Namun, nilai-nilai kesenian pada bonekanya wajar dipertahankan," katanya kepada Bernama selepas Persidangan Puppetry ASEAN 2015 di Dataran Merdeka di sini, Jumaat.

Persidangan tiga hari itu, yang dianjurkan Persatuan Kakiseni dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Persatuan Puppetry ASEAN, diadakan sempena sambutan Hari Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Malaysia 2015.

Beliau berkata selain sukar menjana pendapatan kerana kurang persembahan, kumpulan wayang kulit juga berdepan masalah kekurangan Tok Dalang.

"Tok Dalang nak hidup, perlukan pendapatan tetap...namun, kurangnya persembahan dan sokongan menyebabkan kumpulan ini sukar mencari pendapatan. (Akibat daripada keadaan ini) anak-anak mereka juga tidak berminat mendalami wayang kulit atau menjadi Tok Dalang," kata pensyarah teater tradisional, moden dan Asia itu.

Menurutnya jumlah Tok Dalang juga semakin berkurangan dengan kini hanya terdapat lima orang di seluruh negara dan mereka berusia lebih 70 tahun. Dalam pada itu, beliau menyarankan supaya Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta JKKN menyediakan peruntukan tetap untuk kumpulan wayang kulit negara. -- BERNAMA

Akhbar: 
BERNAMA
Publish date: 
Friday, May 22, 2015