Usaha lahirkan tarian baru

NORLIZA Rofli (bertudung) bersama tenaga kerja dan para penari yang akan menjayakan Malam Inspitari - Pencarian Tari Kreasi Baru di Pangung DBKL, Kuala Lumpur pada 20 Oktober ini pukul 8.30 malam.


KESENIAN pelbagai jenis tarian tradisi Melayu seperti inang dan zapin yang diwarisi dari nenek moyang kita masih lagi elok dipelihara dari zaman ke zaman.

 

Menyedari nilai kesenian itu yang tidak boleh diukur dengan wang ringgit, pihak berwajib bukan memulihara, sebaliknya, usaha juga diambil bagi mengembangkan lagi seni persembahan tarian itu.

 

Sebagai contohnya dengan mempelbagaikan tarian yang ada mahupun mencipta jenis-jenis tarian baru supaya seni tradisi peninggalan nenem moyang itu terus diminati ramai.

 

Menyedari hakikat itu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) telah melakukan inisiatif tersendiri melalui program yang dikenali sebagai Malam Inspitari - Pencarian Tari Kreasi Baru.

 

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Norliza Rofli, melalui program itu setiap kumpulan penari JKKN di seluruh negara akan mempersembahkan tarian baru yang mereka cipta atau diperbaharui semula.

 

“Projek ini adalah inspirasi daripada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang mahu mengekalkan dan menambah koleksi tarian sedia ada.

 

“Melalui program ini, kita akan meminta para penari kita mencipta tarian baru yang ada kaitannya dengan budaya masyarakat di negara ini terutama orang Melayu dan pribumi.

 

“Selain itu, kita juga menggalakkan mereka mempelbagaikan lagi tarian tarian tradisional sedia ada dalam nafas baru supaya ia terus relevan dan diminati oleh golongan muda.

 

“Semua tarian yang dipelbagaikan itu haruslah mewakili tarian tradisional setiap negeri yang mereka wakili,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur (KL) baru-baru ini.

 

Kesemua penari JKKN setiap negeri seluruh negara akan mempersembahkan tarian mereka di Auditorium DBKL, KL di mana ia dirakamkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan akan disiarkan melalui saluran TV itu kelak.

 

Norliza memberi contoh tarian Ketam Bakang yang dipersembahkan oleh Orang Asli di Johor yang memperlihatkan keunikan kostum dan lengguk tarian tersendiri.

 

“Saya anggap seni tarian tradisional sebagai ‘permata yang perlu digilap’ kerana ia suatu khazanah yang jika tidak dijaga ia bukan sahaja akan malap tetap lenyap begitu sahaja,” ujarnya.

 

Di samping usaha pemuliharaan, seni-seni tarian tradisional juga kata beliau, boleh dijadikan bahan-bahan kajian oleh para pelajar jurusan tarian seperti di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

 

Jelasnya, bahan-bahan itu kemudiannya akan diadaptasi dan dipersembahkan di pentas seperti Panggung Sari, Istana Budaya bagi dipertontonkan kepada umum.

 

“Ini merupakan proses mencungkil serta memperkenalkan lebih banyak jenis tarian yang kita cungkil daripada program seperti ini. Kita harap akan ada lebih banyak tarian baru dicungkil di setiap negeri kelak,” katanya.

 

Mengenai daya kreativiti dan kreasi pula, Norliza menjelaskan, ada dua perkara yang berbeza dalam konteks untuk menzahirkan sesebuah tarian dalam program tersebut.

 

Jelasnya, kreasi atau berasal daripada perkataan Inggeris bermaksud creation atau ciptaan merupakan suatu perkara yang baru, manakala kreativiti pula mengolah semula sesuatu tarian itu dalam nafas baru yang lebih segar.

 

“Kami menggalakkan penciptaan apa-apa juga jenis tarian baru yang berteraskan budaya tempatan. Pada masa sama, kita turut menerima idea bagi mempelbagaikan seni tarian tradisional sedia ada yang berasaskan mitos dan legenda di negara ini,” tambahnya.

 

Hadir sama pada majlis pelancaran yang dilancarkannya itu ialah Timbalan Ketua Pengarah JKKN, Mesran Yusof dan Pengarah Kanan JKKN, Mod Zaki Din.

 

Pada majlis itu turut dipersembahkan ialah tarian Ketam Bakang oleh para penari JKKN Johor dan penari JKKN Pahang di mana mereka juga akan mempersembahkannya pada Malam Inspitari - Pencarian Tari Kreasi Baru itu yang diadakan secara percuma kepada orang ramai.

 

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut tentang program itu sila layari laman sesawang JKKN di alamat www.jkkn.gov.my

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Wednesday, October 20, 2010