Usaha JKKN memantapkan seni permainan Mak Yong

Bengkel Pemantapan Teater Tradisional yang diadakan di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan di sini, berjaya mencungkil bakat 25 peserta dalam seni permainan Mak Yong.

 

Program itu yang berlangsung selama tiga hari bermula Ahad lalu, dianjurkan JKKN Kelantan di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

 

Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan JKKN, Tuah Md. Nor berkata, bengkel tersebut merupakan lanjutan program perantisan Mak Yong bertujuan mendedahkan kesenian permainan tersebut di kalangan generasi baru.

 

"Bengkel ini diadakan setiap tahun bagi memantapkan aspek kesenian permainan Mak Yong yang kini diiktiraf oleh UNESCO sebagai Warisan Dunia mengikut keadaan semasa, tanpa meninggalkan konsep asal budaya tempatan agar ia terus hidup sebagai seni orang Melayu.

 

"Justeru, setiap seni perlu dihayati dan diwarisi agar ia tidak ditelan zaman khususnya bagi generasi masa depan," katanya.

 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas Majlis Malam Persembahan Teater Tradisional Sempena Bengkel Pemantapan Teater Tradisional di Auditorium Kompleks JKKN Kelantan, di sini malam tadi. Hadir sama, Penolong Pengarah JKKN Kelantan, Zani Ismail.

 

Menurut Tuah, setiap peserta yang menyertai program tersebut menerima bimbingan daripada tenaga pengajar yang berpengalaman dalam seni permainan Mak Yong.

 

Beliau turut menyifatkan program tersebut sebagai berjaya meskipun bilangan peserta dilihat agak kecil memandangkan penyertaan peserta adalah terhad.

 

Menerusi majlis tersebut, peserta bengkel turut mempersembahkan kreativiti serta bakat mereka dengan menyaksikan persembahan teater tradisional Mak Yong berjudul 'Raja Sinun Sakti'.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Thursday, December 22, 2011