Tunku Azizah hiburkan penghuni Penjara Kajang [METROTV]

Tunku Azizah hiburkan penghuni Penjara Kajang [METROTV]

RAJA Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyampaikan dua lagu medley kepada kira-kira 2,000 penghuni Penjara Kajang, hari ini.

Baginda menyampaikan lagu bahasa Inggeris I Will Survive (Gloria Gaynor) serta Survivor (Destiny’s Child) dalam Konsert Koir Kebangsaan Malaysia 2019 yang bertemakan ‘Terapi Muzik: Doktor Hati’.

Nyanyian itu adalah kejutan daripada Tunku Azizah pada saat akhir dalam konsert berkenaan dan mendapat tepukan gemuruh serta sorakan tetamu yang hadir.

Persembahan baginda turut diiringi dua penyanyi tanah air Datuk Syafinaz Selamat dan Misha Omar serta kumpulan Koir Kebangsaan Malaysia.

Sebelum membuat persembahan, baginda sempat bertitah dengan kata-kata semangat kepada penghuni penjara.

“Baju yang saya pakai hari ini ditenun banduan di Penjara Bentong, Pahang. Saya juga sudah menempah baju batik dihasilkan penghuni Penjara Kajang.

“Esok pula saya akan ke Yogyakarta, Indonesia bagi ASEAN Traditional Textile Symposium. Saya akan bawa produk daripada Cek Mek (penghuni penjara wanita) untuk dipamerkan.

“Semua produk ini adalah hasil penghuni Penjara Kajang (Selangor), Penjara Bentong dan Penjara Penor di Pahang dan Penjara Marang, Terengganu,” titahnya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Tan Sri Norliza Rofli.

Terdahulu, konsert anjuran Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya melalui agensinya JKKN dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia.

Ia diadakan bertujuan memberi impak positif dan menarik minat penghuni penjara bagi menyertai aktiviti sosial yang bukan saja sebagai hiburan, malah kesedaran hidup bertamadun.

Koleksi lagu dipilih adalah lagu lama dan baru yang membawa mesej positif, gembira dan ketuhanan serta kedamaian dengan rentak rock, jazz, pop, balada selain tradisional.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 8:33 PM
Author: 
Faliq Lajim
Akhbar: 
MyMetro Online
Publish date: 
Sunday, November 3, 2019

Add new comment

Plain text

  • No HTML tags allowed.
  • Web page addresses and e-mail addresses turn into links automatically.
  • Lines and paragraphs break automatically.
Image CAPTCHA