TPM hadir Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baru 2012

 

(MUHYIDDIN Yassin bersama Noorainee Abdul Rahman, Dr. Rais Yatim, Masnah Rais, M. Kavyeas dan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional bersama memotong kek tanda gimik perasmian Rumah Terbuka 1Malaysia bagi Sambutan Hari Natal dan Tahun Baru di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam.)

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menghadiri majlis Rumah Terbuka 1Malaysia Krismas dan Tahun Baru 2012 anjuran Parti PPP di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

 

Beliau diiringi isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim serta isteri, Datin Seri Masnah Rais dan Timbalannya, Datuk Maglin Dennis D'Cruz.

 

Majlis tersebut yang dihadiri kira-kira 5,000 pengunjung daripada pelbagai kaum dan agama diserikan dengan persembahan kebudayaan oleh penari Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Istana Budaya serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

 

Sempena majlis itu, Timbalan Perdana Menteri turut menyampaikan bantuan komputer riba 1Malaysia kepada lapan pelajar yang kurang berkemampuan selain meraikan 532 kanak-kanak dari rumah kebajikan dan anak yatim dari sekitar Lembah Klang.

 

Presiden PPP, Datuk M. Kayveas berkata, pihaknya menganjurkan majlis rumah terbuka tersebut sebagai manifestasi kepada semangat 1Malaysia yang dipraktikkan oleh PPP sejak 15 tahun lalu dan ia merupakan acara tahunan parti berkenaan.

 

Menurutnya, PPP adalah parti 1Malaysia kerana dianggotai pelbagai kaum dengan 25 peratus ahlinya adalah bumiputera dan lebih 35 peratus Cina manakala selebihnya kaum India.

 

Kata beliau, jawatankuasa parti juga diterajui oleh pemimpin pelbagai kaum.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Tuesday, January 3, 2012