Tinggalkan ICOM

ANGGOTA Koir Kebangsaan Malaysia yang akan mengadakan persembahan di Auditorium DBKL pada Sabtu dan Ahad ini.

BERTAHUN sudah Syafinaz Selamat perlu membahagi masa meneruskan komitmennya sebagai pensyarah di tiga tempat iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan International College Of Music (ICOM).

Akhirnya, dia terpaksa melepaskan tanggung jawabnya di ICOM kerana kesibukan yang terus menghimpit. Tambahan pula Syafinaz turut memikul tanggungjawab penting kepada Koir Kebangsaan Malaysia.

Untuk kumpulan koir berkenaan, Syafinaz bertindak sebagai Jurulatih Vokal dan juga Pengarah Persembahan dan Vokal serta penyanyi koir berkenaan.

“Pada satu tahap memang saya sudah tidak dapat membahagi masa untuk komitmen yang diberikan. Semester baharu di ASWARA pun nak mula tak lama lagi. Di UiTM pun saya hanya nak habiskan lagi tanggungjawab kepada dua pelajar saja.

“Dek kesibukan ini, kadang-kadang waktu tidur saya pun tak menentu jadinya. Tapi saya cuba disiplinkan diri untuk dapatkan tidur enam jam sekurang-kurangnya. Tidur yang cukup penting untuk vokal. Bukan kadang-kadang lagi, malah selalu saya akan balik pukul 2 pagi," katanya.

Pendek kata, hari-harinya penuh dengan soal membabitkan kerja. Jadi bagaimana penyanyi lagu Ingin Bersamamu itu mahu memikirkan soal cinta. Bunyinya nampak seperti klise tetapi itulah hakikatnya yang harus ditelan kerana pada saat usianya kini berkemungkinan memiliki pasangan hidup atau kekasih, Syafinaz masih belum berpunya.

“Jadi setiap kali membincangkan atau menjawab soal cinta, ia akan cenderung jadi bosan. Tapi saya sentiasa percaya soal jodoh itu di tangan Allah. Mungkin juga bakal pasangan saya belum hadir atau dilahirkan lagi di muka bumi ini," selorohnya.

Syafinaz ditemui Hits baru-baru ini di Muzium Negara dalam pertemuan santai anjuran Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN) untuk mempromosikan Konsert Koir Kebangsaan bertemakan klasikal di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pada 20 dan 21 September ini bermula pukul 8.30 malam.

Konsert ini akan memaparkan himpuran dan segmen nyanyian lagu berlandaskan klasik seperti lagu asli Melayu, inang, joget, keroncong serta zapin, dan juga klasik barat terdiri daripada lagu dari era Renaissance hingga ke era romantik.

“Konsert ini mengembalikan seni koir itu sendiri yang berasaskan klasikal. Koir Kebangsaan sendiri bermula dengan klasikal. Konsert ini mahu penonton lebih menghargai suara dan bukannya membabitkan pergerakan seperti tarian berirama.

“Selama ini kita sudah disogok dengan benda komersial yakni koir yang menyelitkan visual seperti pergerakan yakni tarian. Benar mungkin akan ramai yang lebih menghargai koir sedemikian berbanding klasikal yang lebih terarah kepada berdiri kaku atau sedikit pergerakan.

“Kalau orang tak menghargai koir klasikal, kita tak ada inisiatif menghidupkannya semula. Umpamanya budaya akan terus pupus kalau kita berfikiran sebegitu. Kita harus sedarkan klasikal tidak bosan dan kalau tepat pemilihan lagu, ia akan jadi berwarna serta menghiburkan," katanya yang bertindak sebagai Jurulatih Vokal dan juga Pengarah Persembahan dan Vokal untuk Koir Kebangsaan Malaysia ini.

Tiket menonton konsert ini boleh dibeli secara online di www.ticket2u.biz pada harga RM10, RM20 dan RM30. Diskaun turut akan diberikan kepada pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU). Tiket juga boleh dibeli di Istana Budaya dengan menghubungi 03-41498600.

Pihak urus setia turut menyediakan khidmat pembelian tiket sebelum malam konsert berlangsung pada 20 dan 21 September ini di Auditorium DBKL bermula pada pukul 4 petang. Konsert ini ditunjangi JKKN sebagai penganjurnya.

Konsert ini memuatkan 22 buah lagu dan menampilkan 40 orang ahli Koir Kebangsaan Malaysia. Program ini merupakan satu lagi usaha JKKN dalam menyemarakkan industri seni suara tanah air.

Apa yang menarik, dalam konsert ini nanti, Koir Kebangsaan akan mengalunkan vokal harmoni mereka menerusi 22 buah lagu daripada genre klasik barat dan juga klasik Melayu. Menjanjikan kelainan, para penonton akan dihidangkan dengan kebudayaan dan kesenian masyarakat Melayu dan keunikan lagu klasikal barat yang akan disokong dengan visual & grafik yang menarik.

Kesemua lagu-lagu tersebut dipilih dengan teliti serta digubah semula dengan muzik yang lebih segar untuk disesuaikan dengan vokal Koir Kebangsaan Malaysia.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20140918/hi_03/Tinggalkan-ICOM#ixzz3Dzw3efzp 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Thursday, September 18, 2014