Tengkolok jiwa Mohd. Yatim

Mohd. Yatim Mustaffa menunjukkan tengkolok yang telah

disiapkan di rumahnya di Kampung Peremba, Tongkang Yard, Alor Star.

 

SEJAK zaman berzaman, bangsa Melayu mempunyai pelbagai adat dan istiadat yang kekal menjadi tradisi dan warisan turun menurun.

 

Walaupun menghadapi cabaran atau ‘rentak’ dunia baru berpaksikan teknologi, tradisi itu tetap dipertahankan.

 

Nyata, kecanggihan teknologi dan arus permodenan tidak mampu menyekat atau menenggelamkan terus tradisi Melayu.

 

Sebagai contoh, pakaian Melayu bukan sahaja diperagakan pada hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha dan di majlis persandingan orang Melayu tetapi ia menjadi pakaian rasmi bagi adat istiadat kerajaan termasuk di istana.

 

Bagaimanapun, pakaian seperti baju Melayu masih banyak dan boleh ditempah atau dibeli terus dari butik-butik.

 

Begitu juga dengan songkok untuk hiasan kepala bagi dipadankan dengan baju Melayu.

 

Namun aksesori kepala tradisonal yang dipakai oleh pembesar dan pahlawan Melayu zaman dahulu iaitu tengkolok sememang semakin sukar untuk didapati. Malah untuk mencari pembuat tengkolok pun sudah sukar.

 

Disebabkan itu, hiasan kepala yang masih kekal di kalangan lelaki Melayu hanya songkok.

 

Tengkolok jika ada dan dipakai pun hanya di kalangan kerabat diraja dan para petugas istana.

 

Mereka yang ingin mendapatkan tengkolok biasanya akan mengunjungi kedai-kedai dan butik pengantin atau menyewanya daripada mak andam. Itu pun terhad kepada satu atau dua jenis tengkolok sahaja.

 

Menyedari hakikat itu, seorang pemuda, Mohd. Yatim Mustaffa, 34, dari Kampung Peremba, Tongkang Yard, Alor Setar, Kedah berani menongkah arus untuk kembali ke zaman silam bagi menyahut cabaran meneruskan tradisi pembuatan tengkolok.

 

Minat Mohd. Yatim terhadap tengkolok, tanjak atau dastar timbul kerana keunikannya. Ia bukan sahaja berperanan sebagai penutup kepala, malah cara ikatan dan pemakaiannya melambangkan ketokohan pemakainya pada zaman dahulu.

 

Sehubungan itu, pemuda yang diberi nama oleh bapanya sempena tajuk sebuah filem Yatim Mustapa itu mengambil keputusan untuk terlibat secara serius dalam pembuatan tengkolok sejak dia berusia 20-an.

 

“Ketika itu kalau tidak silap sekitar 1997, saya aktif dalam seni silat pulut yang membuat persembahan di rumah-rumah kenduri kahwin.

 

“Pada masa itulah saya kena ikat tengkolok dan naluri saya tiba-tiba minat dengan tengkolok.

 

“Memakainya mudah, tetapi untuk membentuk kain menjadi tengkolok saya lihat memerlukan seni dan kreativiti. Dari situ saya mencuba membuatnya sendiri di rumah.

 

“Bagi tujuan itu, saya membeli tengkolok digelar Dendam Tak Sudah yang pada ketika itu berharga RM40 dan membuka simpulnya , kemudian mengikatnya kembali,” kata Mohd. Yatim ketika ditemui di rumahnya.

 

Menurut Mohd. Yatim, pada mulanya ia memang sukar untuk mengikat kembali tengkolok yang telah dileraikan itu tetapi selepas beberapa kali mencuba, akhirnya dia berjaya mempelajari sedikit sebanyak teknik mengikat tengkolok.

 

“Selepas mengetahui teknik, ditambah kreativiti sendiri, saya berupaya untuk membuat tengkolok di samping membeli buku yang mempunyai kaitan dengan tengkolok bagi menambah pengetahuan,” katanya.

 

Begitu pun, minat yang mendalam di samping mahu meneruskan kerja-kerja pembuatan tengkolok mendorong Mohd. Yatim menambah pengetahuannya dalam bidang diceburi apabila menyertai satu kursus berkaitan tanjak di Taman Budaya, Pumpong di sini anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Kedah.

 

Bapa kepada Omar Dani, 9, Rabiaton Adiwiyah, 5, Normadinah, 3, dan Normuzalifah, 1, itu bertuah kerana mendapat tunjuk ajar daripada seorang pembuat tengkolok berpengalaman yang cukup popular dengan nama Pak Mus pada kursus selama dua hari itu.

 

Nasibnya juga baik kerana isteri, Mariah Shahban, 30, yang pernah mengikuti kursus teknologi fabrik dari Pusat Giat Mara mahir dalam bidang jahitan dan membantu Mohd. Yatim terutama ketika dia menerima banyak tempahan.

 

Malah, anaknya Omar Dani, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Perak, Alor Setar sudah menampakkan minat untuk mencuba bidang tersebut pada waktu hari kelepasan atau cuti sekolah dan segala ilmu dicurahkan untuk meneruskan kesinambungan pembuatan tengkolok.

 

Berkat kegigihan di samping keluarga menjadi pembakar semangat, Mohd. Yatim mula menonjolkan kepakarannya dalam membuat tengkolok sehingga dikenali di kalangan penggiat seni dan bahagian protokol istana.

 

Tempahan tengkolok datang mencurah-curah, malah pada sempena sambutan Jubli Emas Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu`adzam Shah, Mohd. Yatim menerima tempahan 152 biji tengkolok sehingga terpaksa `bersengkang mata’ selama tiga hari dua malam untuk menyiapkannya dalam tempoh diberikan.

 

Kini Mohd. Yatim sudah boleh membuat pelbagai jenis tengkolok mengikut variasi atau gelaran diberi oleh istana atau golongan bangsawan pada masa dahulu yang kekal sehingga sekarang.

 

Antara nama-nama atau gelaran tengkolok yang dibuat oleh Mohd. Yatim ialah Dendam Tak Sudah atau panggilan istana Dandan Tak Sudah, Tanjak Laksamana, Gagak Di Rimba, Ayam Teleng, Tanjak Harimau Berantai, Tunas Rebung, Naga Bora, Solek Gondang Mas, Layang Mas, Helang Menyongsong Angin, Lang Sura dan Solek Ketam Batu.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Tuesday, April 5, 2011