Tarian lama suntikan baru

Budaya bangsa dibezakan melalui keseniannya. Kepentingan menjaga tradisi ini samalah seperti kita memelihara dan menjunjung tinggi bahasa ibunda.

Apatah lagi bercakap mengenai budaya negara ini yang dihuni tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India merangkumi kira kira 80 kaum etnik, terutama di Malaysia timur. Antaranya termasuk Baba dan Nyonya, Kadazan Dusun dan Iban. 

Dengan jumlah yang sebegini besar, bagaimanakah masyarakat khususnya generasi muda dapat mengetahui akan kepelbagaian tarian di Malaysia, jika program seperti Inspitari tidak diteruskan. 



Menyedari pengaruh tari mampu mencetuskan fenomena, sekali lagi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan usahasama RTM menganjurkan Malam Gala Inspitari atas sambutan cukup hebat yang diterima sejak tahun 2010.

Foto

Tarian yang dipersembahkan salah satu Kumpulan Kesenian JKKN yang paling menyerlah pada tahun lalu.



Program kesinambungan ini sekali lagi dipersembahkan di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur sebagai lokasi utama Malam Gala ini.



Menurut Ketua Pengarah JKKN Datuk Norliza Rofli, aspirasi JKKN yang kini berada di bawah naungan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, adalah menterjemahkan tariAN lama dan ‘authentic’ atau olahan tari baru yang sarat dengan elemen tradisi dan tempatan kepada suntikan komersial dan bersifat dinamik agar lebih relevan dalam arus industri tari mahupun seni persembahan. 



“Berdasarkan penyelidikan dan olahan semula, 16 tarian yang dikoreografikan 16 koreografer pada Malam Gala Inspitari ini membabitkan 276 artis budaya di bawah JKKN. 



“Sebagai mencipta kelainan pada musim kali ini, Inspitari 2014 memperkenalkan tema Pencarian Tari Kreasi Baru, yang membawa pengertian iaitu satu garapan daya cipta dan kreativiti ditampilkan dalam simbolik persembahan tarian ciptaan baru berasaskan imej dan identiti setiap negeri di Malaysia. 



“Inilah cabaran bakal dihadapi Kumpulan Kesenian JKKN seluruh negara apabila mereka harus lebih berdaya kreatif dalam mempersembahkan tarian yang diolah,” katanya. 



Malam Gala Inspitari dijadualkan bermula pada 6 dan 7 September ini jam 8.30 malam hing­ga 10.30 malam di Auditorium DBKL, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. 



Orang ramai boleh melayari fanpage Facebook mysenibudaya atau www.jkkn.gov.my untuk keterangan lanjut. juga tempahan pas masuk percuma di talian 03-26148200.

Author: 
Norhadiani Baharom
Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Friday, September 5, 2014