Tarian joget pemangkin gagasan 1Malaysia - Mohd. Ali

Tarian joget boleh dijadikan pemangkin kepada Gagasan 1Malaysia dalam memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

 

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, joget mampu merealisasikan objektif tersebut dalam mengeratkan hubungan antara kaum hanya melalui tarian.

 

Menurutnya, joget kini ditarikan oleh semua kaum tanpa mengira usia kerana ia bukan sahaja dapat merapatkan hubungan sebaliknya keakraban dapat dipupuk.

 

Beliau berkata, Pesta Joget 1Malaysia yang dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menyaksikan penyertaan daripada berbilang kaum di Melaka bukan sahaja orang Melayu tetapi juga India, Chetty, Cina, Baba Nyonya dan Portugis.

 

"Pesta ini secara tidak langsung dapat memperlihatkan toleransi bermasyarakat kerana menonjolkan betapa harmoninya masyarakat Malaysia dalam merintis keinginan hidup bersatu padu.

 

"Kita dapat lihat penyertaan 500 peserta yang menjayakan Pesta Joget 1Malaysia yang telah menampakkan keakraban tidak kira mereka itu orang Melayu, Cina, Chetty, India, Baba Nyonya atau Portugis," katanya berucap merasmikan Pesta Joget 1Malaysia di Dataran Dewan Tun Ali, Bukit Katil baru-baru ini.

 

Joget 1Malaysia adalah anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama kerajaan negeri.

 

Mohd. Ali berkata, pemilihan Melaka sebagai lokasi penganjuran pesta itu adalah tepat kerana joget amat terkenal di negeri ini dan diamalkan oleh semua kumpulan etnik.

 

Sementara itu Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli berkata, Pesta Joget 1Malaysia diadakan untuk mengangkat program tersebut yang terpilih sebagai produk pelancongan untuk dinikmati pelancong dari luar negara.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Tuesday, December 20, 2011