Susilo akan jumpa PM di KL – Rais

KUALA LUMPUR 9 Sept. – Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono akan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuala Lumpur untuk membincangkan usaha mengharmonikan hubungan kedua-dua negara ekoran kontroversi tarian Pendet Bali.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pertemuan yang dijadualkan dalam masa terdekat itu akan dimanfaatkan kedua-dua pemimpin terbabit untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Insya-Allah jika tuhan mengizinkan, Presiden Indonesia akan melawat Kuala Lumpur dalam tempoh terdekat ini.

“Ia memberi peluang kepada Presiden Indonesia dan Perdana Menteri membincangkan usaha menyelesaikan isu tersebut demi menjamin masa depan rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan tiga wakil daripada Kumpulan Tokoh Terkemuka (EPG) Indonesia diketuai Pengerusinya, Tan Sri Try Sutrisno di pejabatnya di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini hari ini.

Hasil pertemuan itu, kata Rais, Kerajaan Malaysia dan Indonesia bersetuju mewujudkan beberapa program harmoni sebagai usaha merapatkan hubungan kedua-dua negara.

Beliau berkata, satu daripada program itu adalah mencantumkan media Indonesia dan Malaysia supaya dapat berbincang dan mencari jalan bagaimana mencapai hubungan harmoni.

Seterusnya, kata beliau, kedua-dua pihak juga bersetuju mengadakan program pertukaran budaya dan sejarah.

“Kita akan membincangkan lebih lanjut perkara ini dengan Menteri Kebudayaan Indonesia. Saya juga sudah menulis surat kepada Menteri Pelancongan negara itu untuk menyatakan kesediaan kita menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku demi masa depan bersama,” katanya.

Menurut Rais, pihaknya sudah menghantar Pengerusi Eksekutif Media Prima Bhd., Datuk Johan Jaaffar ke Jakarta kira-kira dua minggu lalu untuk mencari pengisian yang sesuai bagi program tersebut.

Semalam kira-kira 50 anggota kumpulan rakyat Indonesia yang menamakan diri sebagai “Benteng Demokrasi Rakyat” (Bendera) bersenjatakan buluh runcing memaksa orang ramai yang melalui Jalan Diponegoro di Jakarta menunjukkan tanda pengenalan dalam kempen mengusir rakyat Malaysia.

Selain itu beberapa demonstrasi dilakukan di luar kedutaan Malaysia di Jakarta, dengan yang terbaru penunjuk perasaan melontar telur busuk ke arah bangunan kedutaan minggu lepas selepas Malaysia dituduh ’mencuri’ tarian Pendet Bali semasa mempromosi Malaysia dalam rancangan yang disiarkan saluran Discovery Channel.

Discovery Channel sebelum ini sudah memohon maaf terhadap kesilapan yang dibuat oleh syarikat berpangkalan di Singapura itu.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Thursday, September 10, 2009