Sorot sejarah pekan teater

Menyorot kembali sejarah penganjuran FTM, ia telah mewarnai dunia seni teater sekitar tahun 70-an hingga 1980- an yang dikenali sebagai Pesta Tarian dan Drama. Namun pada 1990, FTM mula dikenali sebagai Pekan Teater dengan format dan pendekatan baru yang lebih memfokuskan kepada genre teater sahaja. Setelah melewati tahun millenium barulah Festival Teater Malaysia dijenamakan pada 2002 de-ngan pendekatan mesra khalayak.

Pengarah JKKN Sarawak, Zaifri Husin ketika majlis sidang media sempena dengan Festival Teater Negeri Sarawak baru-baru ini bertempat di sebuah restoran terkenal di Kota Sentosa berharap agar semua kumpulan bertanding perlu menerapkan aspek asas dalam pementasan teater. Penterjemahan skrip untuk pementasan teater memerlukan ketelitian pemahaman agar dapat meletakkan jiwa dalam setiap lakonan yang diberikan. “Saya berpesan kepada semua kumpulan terlibat agar benar-benar memahami naskah dipilih untuk dipentaskan.

“Setiap perincian perlu dikaji terlebih dahulu terutama dari aspek penghayatan dan jiwa terhadap watak untuk memberi impak dalam persembahan,” Zaifri. Di samping itu Zaifri berpesan kepada pelakon terlibat agar memberi penekanan dalam aspek lontaran vokal serta sebutan patah perkataan yang lebih jelas.

Beliau turut menasihati mereka agar tidak mengalah jika jumlah penonton yang tidak ramai memandangkan hari pertandingan jatuh pada hari bekerja. “Tenaga lakonan perlu dilepaskan sepenuhnya. "Tenaga lakonan seharusnya kekal dan malar sepanjang pementasan berlangsung kerana ini adalah mustahak dan perlu diambil kira. “Sama ada kita berlakon di hadapan khalayak ramai atau kita berlakon di hadapan kerusi kosong.

"Penghayatan dan jiwa terhadap watak perlulah sama. “Kehadiran penonton seharusnya tiada kena mengena dengan kualiti lakonan kita. "Sebab itulah sewaktu latihan atau persembahan yang tiada penonton kita harus memberikan sepenuh penghayatan dan komitmen. "Namun, jika penonton yang hadir ramai, maka itu satu bonus kepada semua,” tambah Zaifri.

Festival Teater Negeri Sarawak bermula 4 November (Rabu) dengan penampilan sulung kumpulan BEDURUK (Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak) melalui pementasan ‘Kasin’.

Selepas itu ‘Titik Mula Titik Akhir’ oleh Asentar (UNITAR-5 November 2015) , ‘Samak’ oleh Grup Teater G-Teras(RELA Sarawak - 6 November ), ‘DejavuDari Langit’ (Pertubuhan Teater Sanggar Kreatif Kuching – 7 November), ‘Mutakhir’ (Grup Teater AKSARA – 8 November), ‘Anak Nazar Tujuh’ (Grup Teater Senimanku (UiTM) - 9 November), ‘Nazar Kumal’ (Bayu - Unimas – 10 November), ‘Mendung Berlalu’ (Kumpulan teater Permata Kenyalang - UiTM - 11 November), ‘Melati Sarawak’ (kumpulan Studio Labu Sakti – 15 November) dan ‘Si Panji Rumput’ (kumpulan Persatuan Seni Persembahan SIFAR).

Kali ini JKKN Sarawak bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak (KPS) bagi menjayakan program dwitahunan ini. Program ini dijayakan secara bersama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Jabatan Penyiaran, Jabatan Penerangan, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan MANTERA.

Orang ramai dijemput hadir menyaksikan sendiri kumpulan ini bertanding bagi merebut tempat ke peringkat kebangsaan pada tahun hadapan. Festival kali ini dianjurkan bersempena dengan sambutan ‘Malaysia Year of Festivals 2015’ dan bulan bahasa kebangsaan.

 

 

 

 

 

Akhbar: 
Utusan Sarawak Online
Publish date: 
Wednesday, November 4, 2015