SIFAR yakin ulang kejayaan melalui Si Panji Rumput

PERSATUAN Seni Persembahan Sifar Kuching (SIFAR) dilihat menggalas tugas berat kerana perlu mengekalkan reputasi mereka sebagai johan Festival Teater Malaysia(FTM) sebanyak dua kali pada 2008 dan 2014. Mereka mempertaruhkan naskah Jamshari Saili bertajuk ‘Si Panji Rumput’ dan diarahkan Malek Hassan. Sungguhpun begitu, SIFAR yakin mampu memberikan persembahan terbaik kerana mempunyai kekuatan dan pengalaman luas dalam dunia pementasan teater di peringkat negeri mahupun kebangsaan.

Sebanyak sepuluh kumpulan berentap merebut tempat ke peringkat kebangsaan tahun hadapan jika terpilih mewakili negeri Sarawak. Selain SIFAR, penyertaan festival kali ini turut menampilkan penggiat seni pementasan teater baharu seperti PERMATA Kenyalang dan G-Teras (RELA Sarawak).

Kumpulan lain bertanding terdiri daripada BEDURUK(IPGTAR), ASENTAR (UNITAR), Pertubuhan Teater Sanggar Kreatif Kuching, AKSARA, Senimanku (UiTM), Bayu(UNIMAS), dan Studio Labu Sakti. Program Festival Teater Negeri Sarawak anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara(JKKN) di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia bersama Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak (KPS) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak ini ternyata mampu menjadi medan mengetengahkan karya hebat untuk dipentaskan.

Selain itu FTM dapat mencungkil bakat generasi baru dalam bidang lakonan, pengarahan dan produksi melalui penglibatan mereka secara langsung dalam produksi. Kebiasaannya sesebuah pementasan teater atau produksi akan mengekploitasikan bakat serta kreativiti dalam lakonan, pengarahan, pembikinan set, props, pengurusan, kostum dan tatarias.

Ini secara langsung meletakkan FTM sebagai silibus pembelajaran kepada setiap peserta dan menjadi forum pertukaran idea melalui bengkel-bengkel yang dianjur oleh JKKN sepanjang berlangsungnya festival dwi tahunan ini. Festival Teater Negeri Sarawak 2015 menyediakan hadiah sebanyak RM2, 500, sijil dan piala kepada kumpulan yang bakal bergelar juara.

Sementara itu tempat kedua dan ketiga masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM2, 000 sijil, dan piala serta RM1, 500.00, sijil dan piala. Individu terlibat dalam produksi turut mendapat habuan mengikut kategori seperti berikut, Pengarah Terbaik dan Sinografi Terbaik masing- masing menerima wang tunai sebanyak RM800, piala dan sijil.

Penerima anugerah Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik pula bakal menerima wang tunai sebanyak RM500, piala dan juga sijil. Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik juga menerima wang tunai sebanyak RM300, sijil dan juga piala. Kesemua kumpulan yang bertanding di FTM Sarawak 2015 turut menerima wang tunai sebanyak RM500, sijil dan piala sebagai sagu hati penyertaan.

Akhbar: 
Utusan Sarawak Online
Publish date: 
Wednesday, November 4, 2015