Seri Melati juara Lantai Cilik

Kumpulan Seri Melati dari Sekolah Kebangsaan Seri Melati, Johor pernah mencuba nasib dalam Lantai Cilik 2 tahun lalu dan hanya mampu ke suku akhir. Tahun ini mereka sekali lagi mencuba nasib dengan menampilkan penari berusia sembilan hingga 11 tahun dan akhirnya berjaya meraih gelaran juara Lantai Cilik musim ketiga (LC3) yang disiarkan secara langsung menerusi TV2, Sabtu lalu.

Gerak tari mereka yang hebat menerusi persembahan Pelayaran Opu 5 Bersaudara dalam segmen pertama bertemakan Tarian Kreasi (persembahan tarian kisah pahlawan atau srikandi petikan babak daripada cerita rakyat tempatan berbentuk legenda, mitos, epik, jenaka dan dongeng) menerima tepukan gemuruh penonton.

Kecemerlangan mereka turut diperlihatkan dalam persembahan Yeahh... Korban Datang Lagi yang diinspirasikan daripada medley lagu rakyat Negeri Sembilan dalam segmen kedua iaitu Tarian Rakyat (tradisional) memerlukan setiap pasukan mencipta tarian baru berdasarkan lagu rakyat dan permainan tradisional serta perlu menggunakan props kraf tempatan seperti kukur kelapa, dulang, terompah, tudung saji, congkak, gasing dan songket.

Dalam pusingan akhir yang berlangsung di Panggung Seri Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Ayer Keroh, Melaka, S K Seri Melati menewaskan empat kumpulan lain, sekali gus membawa pulang wang tunai RM50,000, trofi dan sijil.

Mereka turut meraih kemenangan berganda apabila muncul sebagai pemenang kostum terbaik dan membawa pulang wang tunai bernilai RM3,000, trofi serta sijil.

Tempat kedua diraih kumpulan Ekatari dari Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1) yang menampilkan tarian Alamat yang menceritakan pelayaran Hang Tuah membawa mimpi pertarungan Kebayan dan pertaruhan Puteri Gunung Ledang pada segmen pertama serta tarian Emok-mok (mengisahkan sekumpulan kanak-kanak yang ingin menjadi seorang ibu) dalam segmen kedua. Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, trofi dan sijil penyertaan.

Sementara itu, Kumpulan Pratama Family dari Kota Kinabalu, Sabah pula tampil dengan kreasi Tandawa Arung Salamiah (Srikandi Arung Salamiah) dan lagu inspirasi rakyat Terengganu berjudul Patendu Patende membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, trofi dan sijil penyertaan.

Kumpulan Galang Maya dari Sekolah Kebangsaan Pulau Meranti, Selangor dan kumpulan Sutra Dana Dancers dari Sekolah Kebangsaan Siol Kanan, Kuching, Sarawak memperoleh hadiah sagu hati bernilai RM5,000, trofi dan sijil penyertaan.

Mengimbas persembahan SK Seri Melati, Pelayaran Opu 5 Bersaudara mengisahkan kehebatan Daeng­ ­Perani, Daeng Marewah, Daeng Menambun, Daeng Kemasi dan Daeng Calak membantu merampas kembali Johor yang diambil alih Raja Kecil.

Tarian Yeahh... Korban Datang Lagi pula mengisahkan penduduk di sebuah perkampungan mengamalkan kesepakatan dan tolong-menolong sempena Hari Raya Korban.

Guru pengiring S K Seri Melati, Z’nudin Arbun berkata, mereka tidak menyangka meraih kejayaan pada penyertaan kali ini.

“Persembahan kami sentiasa berubah termasuk beberapa jam sebelum pertandingan. Untuk pentas akhir, kami berlatih selama dua minggu. Lagu kreasi untuk Pelayaran Opu 5 Bersaudara disimpan sejak 2005 dan selepas 10 tahun barulah saya keluarkan.

“Kemenangan ini kami hadiahkan untuk semua rakyat Johor. Sejak ditubuhkan pada 1999 di mana saya bertindak sebagai pengasas, kumpulan ini sering menjuarai Festival Zapin.

“Terima kasih sekali lagi kepada kerajaan Johor yang sering membantu,” katanya yang tidak mahu bertanding lagi bagi memberi peluang kepada pasukan lain menyerlahkan bakat selepas ini.

Sementara itu guru pengiring S K Putrajaya Presint 9 (1) Azlan Jali berkata, mereka berpuas hati mendapat tempat kedua kerana ini pengalaman pertama beraksi dalam Lantai Cilik.

“Ia percubaan yang baik dan kami sangat gembira. Ekatari sudah buat yang terbaik. Saya kumpulkan anggota kumpulan ini sejak tahun lalu dan mereka masih baru,” katanya.

Hadiah disampaikan Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli manakala pertandingan akhir diadili oleh Zulkarnain Ramly selaku ketua juri, Arja Lee, Juhara Ayub, Vanidah Imran, Yusof Abd Rashid dan Rykal Iskandar.

Program yang menampilkan kerjasama JKKN dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) ini dihoskan Muaz Mohamad, Kaka Azraff dan Azrul. Ia turut dimeriahkan dengan persembahan Ratu Rock negara, Ella.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 7:55 AM

PERSEMBAHAN daripada S K Melati.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/79541#sthash.B3d1nlyU.dpuf

Author: 
Ridzuan Abdul Rahman
Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Wednesday, September 23, 2015