Seri Melati juara

PERCUBAAN kali kedua kumpulan Seri Melati dari Sekolah Kebangsaan Seri Melati, Johor membuahkan kejayaan apabila merangkul gelaran juara program pencarian bakat tarian dalam kalangan kanak-kanak yang disiarkan menerusi RTM2, Lantai Cilik musim ketiga (LC3).

Berbekalkan tarian kreasi kisah pahlawan keturunan Bugis, kumpulan itu berjaya menewaskan empat kumpulan lain sekali gus membawa pulang wang tunai RM50,000, trofi dan sijil.

Pusingan akhir yang berlangsung pada 19 September lalu di Panggung Seri Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Ayer Keroh, Melaka menetapkan dua pusingan berkonsepkan pelayaran.

Segmen pertama bertemakan Tarian Kreasi menampilkan persembahan tarian kisah pahlawan atau srikandi petikan babak daripada cerita-cerita rakyat tempatan berbentuk legenda, mitos, epik, jenaka dan dongeng.

Sementara itu, segmen kedua iaitu Tarian Rakyat (tradisional) memerlukan setiap pasukan mencipta tarian baharu berdasarkan lagu-lagu rakyat dan permainan tradisional serta perlu menggunakan peralatan kraf tempatan seperti kukur kelapa, dulang, terompah, tudung saji, congkak, gasing dan songket.

Dalam pusingan akhir, kumpulan Seri Melati telah memilih tarian kreasi bertajuk Pelayaran Opu 5 Bersaudara mengisahkan kehebatan Daeng Perani, Daeng Marewah, Daeng Menambun, Daeng Kemasi dan Daeng Calak membantu merampas kembali bumi Johor yang telah diambil alih oleh Raja Kecil.

Segmen kedua mengukuhkan kedudukan kumpulan itu menerusi persembahan Yehh...Korban Datang Layi yang diinspirasikan daripada medley lagu-lagu rakyat Negeri Sembilan.

Tarian baharu itu mengisahkan sekumpulan masyarakat di sebuah perkampungan yang bersuka ria dengan mengamalkan kesepakatan dan tolong-menolong sempena Hari Raya Korban.

Menurut guru pengiring sekolah tersebut, Z’nudin Arbun, kumpulan itu memperuntukkan tempoh dua minggu untuk berlatih kedua-dua buah tarian itu selepas berjaya melalui beberapa peringkat saringan terdahulu.

“Alhamdulillah, percubaan kali kedua kami tahun ini membuahkan hasil hingga dinobatkan sebagai juara. Kemenangan ini kami berikan untuk semua rakyat Johor.

“Sejak ditubuhkan pada 1999 dan saya bertindak sebagai pengasas, kumpulan ini sering menjadi juara Festival Zapin. Terima kasih sekali lagi kepada kerajaan Johor yang sering membantu dalam bentuk kesenian,” katanya yang merupakan koreografer dan guru di sekolah berkenaan.

Tambah Z’nudin, untuk persembahan segmen pertama, dia telah menyimpan lagu tarian kreasi itu selama sepuluh tahun sebelum dipersembahkan kepada umum pada pertandingan akhir.

Selain bergelar juara, kumpulan Seri Melati juga berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM3,000, trofi dan sijil apabila mendapat hadiah kostum terbaik.

Dalam pada itu, naib juara diraih kumpulan Ekatari dari Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1) yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, trofi dan sijil penyertaan.

Kumpulan itu telah mempersembahkan tarian Alamat mengisahkan pelayaran Hang Tuah yang membawa mimpi pertarungan Kebayan dan pertaruhan Puteri Gunung Ledang pada segmen pertama. Segmen kedua pula mereka memilih untuk mempersembahkan tarian berjudul Emok-mok yang mengisahkan sekumpulan kanak-kanak yang ingin menjadi seorang ibu.

Kumpulan Pratama Family dari Kota Kinabalu, Sabah pula berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan akhir Lantai Cilik musim ini.

Menerusi tarian kreasi Tandawa Arung Salamiah (Srikandi Arung Salamiah) dan lagu inspirasi rakyat Terengganu berjudul Patendu Patende, kumpulan itu telah membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, trofi dan sijil penyertaan.

Dua kumpulan lain iaitu Kumpulan Galang Maya dari Sekolah Kebangsaan Pulau Meranti, Selangor dan kumpulan Sutra Dana Dancers dari Sekolah Kebangsaan Siol Kanan, Kuching, Sarawak terpaksa pulang dengan hadiah saguhati bernilai RM5,000, trofi dan sijil penyertaan.

Hadiah disampaikan Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli, manakala, pertandingan akhir diadili oleh Zulkarnain Ramly selaku ketua juri, Arja Lee, Juhara Ayub, Vanida Imran, Yusof Abd. Rashid dan Rykal Iskandar.

Pengacara Muaz Mohamad, Kaka Azraff dan Azrul pula bertindak sebagai hos dalam pertandingan yang merupakan kerjasama JKKN dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Malam pertandingan akhir juga dimeriahkan dengan persembahan daripada penyanyi yang popular dengan gelaran Ratu Rock negara, Ella.

- See more at: http://www.utusan.com.my/hiburan/seri-melati-juara-1.141365#sthash.qFgZo...

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Wednesday, September 30, 2015
Kemas kini terakhir: 17 July 2019, 05:20pm
Facebook JKKN Instagram JKKN Youtube JKKN Twitter JKKN RSS JKKN