Seni Lama, Kekal Baru diperkenal di PSS

Aktiviti senam seni menyerikan lagi majlis pengenalan akitiviti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara di Ipoh, baru-baru ini.

 

IPOH 16 Feb. - Senam Seni 1Malaysia, pertandingan mewarna, congkak, batu seremban antara program yang akan diadakan di pekarangan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak di sini, pada Sabtu ini.


Program bermula pukul 5 petang itu merupakan program Pusat Seni Setempat (PSS) yang diadakan setiap bulan sepanjang tahun ini.

 

Pengarah JKKN Perak, Abdul Mutalib Abdul Rahman berkata, pihaknya menampilkan konsep yang bertemakan Seni Lama, Kekal Baru pada kali ini.

 

Menurut beliau, konsep ini dipilih dengan tujuan untuk anak-anak seawal usia bagi mengenali seni budaya bangsa terutama seni permainan tradisional, seni tari, seni muzik dan pelbagai bidang seni yang lain.

 

"Di samping membawa anak-anak untuk menyertai pertandingan bagi mencungkil bakat kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun, ibu bapa boleh menyertai aktiviti kecergasan iaitu Senam Seni," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

 

Katanya, pihaknya yakin PSS ini akan menjadi pusat sehenti seni budaya untuk masyarakat mengenali dan mendapatkan maklumat mengenai seni dan budaya bangsa.

 

Menurut beliau, orang ramai dijemput hadir kerana masuk adalah percuma.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Thursday, February 17, 2011