Seni, budaya Sabah ke persada dunia

Iliyas Ibrahim (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan pencarian 1 Suara, Siti Norzillah Majilin sambil disaksikan oleh Pengarah JKKN, Jasni Rasit (kiri) di Kota Kinabalu, semalam.

 

KOTA KINABALU 1 Nov. - Keunikan seni dan budaya negeri ini sewajarnya dikembangkan ke peringkat antarabangsa.


Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Iliyas Ibrahim berkata, ini kerana ramai pelancong yang datang ke Sabah kagum dengan warisan yang dimiliki oleh rakyat negeri itu.

 

''Ramai pelancong tertarik dengan seni dan budaya rakyat negeri ini.

 

''Bagi mereka, kekayaan seni dan budaya ini dari segi nilai artistik telah menjadi penyatuan perpaduan pelbagai kaum di Sabah," katanya.

 

Beliau berucap pada perasmian penutupan program Pusat Seni Setempat sempena Promosi Kraft Malaysia 2010 di Lintasan Deasoka, di sini hari ini.

 

Iliyas berkata, tanggungjawab itu bukan hanya diserahkan kepada kerajaan khususnya Jabatan Kesenian dan Budaya Sabah (JKKN) semata-mata.

 

Sebaliknya kata beliau, semua pihak perlu memainkan peranan penting dalam membawa seni dan budaya Sabah ke peringkat global.

 

Beliau berkata, program Pusat Seni Setempat anjuran JKKN Sabah merupakan platform untuk generasi muda di negeri ini mengembangkan bakat mereka dalam bidang seni dan budaya.

 

''Selain menjadi saluran maklumat untuk memperkenalkan seni budaya tempatan, program itu adalah usaha JKKN membina benteng pengaruh budaya luar yang boleh merosakkan generasi muda kita," ujarnya.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Tuesday, November 2, 2010