Semarak seni tari tanah air

Program yang dinanti peminat seni tarian kini kembali. Inspitari 2015 akan berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 7 dan 8 November ini, jam 8.30 malam.

Sekali lagi Inspitari menjadi program penting Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dalam usaha memperkembang dan menyemarakkan seni tari tanah air.

Sejak diperkenalkan enam tahun lalu, sebanyak 96 karya baru berjaya dihasilkan dengan garapan idea segar namun masih mengekalkan ciri-ciri asal identiti Malaysia.

Inspitari adalah terjemahan tarian lama dan ‘authentic’ atau olahan tari baru yang sarat elemen tradisi dan tempatan kepada suntikan komersial dan bersifat dinamik agar lebih relevan dengan arus semasa.

Kali ini, seramai 278 artis budaya Kumpulan Kesenian JKKN beserta 16 koreografer akan menampilkan 16 karya baru.

JKKN turut mengambil inisiatif mendokumentasikan karya baru yang dihasilkan. Ia juga dijadikan modul pembelajaran dan panduan kepada penggiat serta pelajar seni tari di Malaysia.

Ketua Pengarah JKKN Datuk Norliza Rofli berkata, pihaknya akan terus komited dan gigih mencungkil dan menggali khazanah seni budaya seluruh tanah air.

“Tujuannya tak lain tak bukan untuk diketengahkan dan seterusnya dapat dihayati masyarakat.

“Objektif Inspitari adalah memperbanyakkan koleksi tarian baru yang unik, segar dan beridentitikan Malaysia. Selain itu kita mahu meningkatkan daya kreativiti koreografer dan penari setiap kumpulan kesenian JKKN.

“Ia juga menjadi pemangkin melahirkan kumpulan yang mantap dan profesional. Sambutan sebelum ini sangat hebat sehinggakan Auditorium DBKL penuh dengan penonton yang mahu menyaksikan persembahan setiap kumpulan,” katanya.

Menerusi Inspitari 2015, penonton akan dapat me­nyaksikan Kumpulan Kesenian Ibu pejabat JKKN mempersembahkan tarian Joget Jengket dan Tari Gong, JKKN Perlis (Tarian Lenggang Harum Manis), JKKN Kedah (Tari Gobek), JKKN Pulau Pinang (Zapin Parsi), JKKN Perak (Bubu Kert), JKKN Selangor (Tarian Batu Tumbuk), JKKN Kuala Lumpur (Rou You Gang) dan JKKN Negeri Sembilan (Monang Kobau).

Kumpulan lain ialah JKKN Melaka (Tari Sari Lintang), JKKN Johor (Tari Gema Daksina), JKKN Pahang (Kurichak), JKKN Terengganu (Mek Awang Tiruk), JKKN Kelantan (Tari Garong), JKKN Sabah (Rampakan) dan JKKN Sarawak (Ngalai Apu Busak).

Sekalipun bertunjang komersial, keaslian dan disip­lin dalam tarian tradisional masih dikekalkan. Improvisasi yang diketengahkan bertujuan menghasilkan persembahan yang lebih menarik, relevan dan seiring dengan tuntutan peredaran zaman.

Koreografer JKKN Melaka, Suhaib Daud berkata, dia memilih tarian Sari Lintang untuk mengelakkan pemakaian busana dan aksesori tradisi ini daripada dilupakan dan seterusnya pupus.

“Kita kena fikir di luar kotak. Justeru, tercetus idea untuk tampilkan busana dan aksesori sanggul lintang dalam sebuah tarian. Tradisi ini hanya dapat dilihat pada majlis perkahwinan.

“Kalau hari biasa memang tak akan jumpa. Pun begitu, ramai pengantin semakin meminggirkan tradisi ini kerana lebih tertarik tampil dalam persalinan moden.

“Dengan adanya tarian ini, sekurang-kurangnya ia dapat dihayati penonton termasuk anak muda,” katanya.

Menurutnya, agak susah mengadun tarian dan sanggul lintang kerana pergerakan penari agak terhad. Bagaimanapun, dia berjaya menemui formula gerak tari sesuai untuk dipersembakan pada hari itu nanti.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang www.jkkn.gov.my untuk keterangan lanjut.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/91179#sthash.mJ4KoDUX.dpuf

Author: 
Ridzuan Abdul Rahman
Publish date: 
Friday, November 6, 2015