Semarak Ramadan

Ramadan datang lagi dan buat kali keempat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menganjurkan Semarak Ramadan Bersama 2015 yang berlangsung sepanjang bulan puasa ini.

Penganjuran program Festival Ramadan itu mencipta sejarah tersendiri apabila sejak tiga tahun lalu berjaya menarik kehadiran 500,000 pengunjung tempatan dan luar negara berbuka puasa di atas jalan raya di Jalan Raja, Dataran Merdeka.

Apabila bersama bersila di atas tikar yang dibentang tiada yang membezakan darjat dan keturunan, semua sama di sisi Allah SWT. Tatkala menjamah kurma, kuih-muih, bubur lambuk dan nasi berlaukan kari daging, semua secara serentak mensyukuri nikmat kurniaan Allah SWT.

Berikutan sambutan memberangsangkan, JKKN melakukan penjenamaan semula daripada Festival Ramadan kepada nama baru, Iftar@KL 2015 bertujuan menjadikan Ramadan sebagai bulan kegiatan kerohanian dan kesenian Islam dapat disemarakkan kepada masyarakat khususnya generasi muda serta memupuk nilai murni melalui penganjuran pelbagai aktiviti.

Iftar@KL 2015 berlangsung pada 20, 21, 27 dan 28 Jun sehingga 4, 5, 11 dan 12 Julai ini (setiap Sabtu dan Ahad) di Jalan Raja, Kuala Lumpur (berhadapan bangunan Sultan Abdul Samad).

Sidang media Iftar@KL 2015 yang diadakan di Dewan Serbaguna Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Putrajaya baru-baru ini, dimulakan dengan mengacau bubur lambuk. Mengambil keberkatan Ramadan yang kian hampir, Imam Muda Asyraf menyampaikan takzirah Ramadan dan persembahan kumpulan nasyid Rabbani.

Hadir sama ke sidang media itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ab Ghaffar A Tambi serta wakil penaja.

Ketua Pengarah JKKN Datuk Norliza Rofli berkata, sambutan hangat pengunjung tempatan dan luar negara berbuka puasa di atas jalan raya mencetuskan fenomena luar biasa.

“Ada dari Timur Tengah, Korea, Kanada, Amerika Syarikat, Australia dan negara Asean. Tahun ini, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui JKKN merancang program yang lebih besar dengan aktiviti yang padat.

“Kami yakin sambutan tahun ini lebih hebat apatah lagi dengan adanya barisan artis jemputan dan penceramah terkenal serta popular,” katanya.

Untuk program Dikir, Ceramah dan Malam Kesenian Islam, JKKN menampilkan ustaz Ghazali Ibrahim, UNIC, Datuk Ramli Sarip, ustaz Zul Ramli M Razali, Rabbani, Hijjaz, Mawi, ustaz Haslim Baharim, Imam Muda Asyraf, Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid dan Munsyeed Bersalawat.

Selain itu ada juga Datuk M Nasir, Yasin, Al-Mawlid, ustaz Datuk Mohamad Kazim, Elias, ustazah Datuk Siti Nur Bahyah Mahamood, ustaz Don Daniyal Don Biyajid, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, Nowseeheart, Far East, Saujana, Du’a & ustaz Amal, Hafiz Hamidun,Daqmie serta kemunculan istimewa kumpulan Debu dan Opick.

Program lain yang dijangka turut mendapat sambutan adalah Penyediaan dan Agihan Bubur Lambuk (Masjid Jamek Kampung Bharu), Pameran Pelancongan Masjid/Iftar/Bubur Lambuk di Malaysia, Pertandingan Nasyid, Persembahan

Nasyid Ramadan, Tazkirah Ramadan, Tadarus Al-Quran, Soal Jawab Agama, solat Isyak dan Tarawih berjemaah.

Meneruskan lagi tradisi Iftar@KL 2015, peringkat saringan pertandingan nasyid diadakan pada 21 Jun ini, jam 10 pagi hingga 4 petang manakala peringkat separuh akhir berlangsung pada 28 Jun diikuti peringkat akhir pada 5 Julai. Johan mendapat hadiah RM10,000, naib johan pula RM5,000 dan tempat ketiga membawa pulang RM3,000.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 10:31 AM

NORLIZA (kiri) dan Ab Ghaffar (dua dari kiri) bersama wakil penganjur mengacau bubur lambuk.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/56865#sthash.HsTKaaAW.dpuf

Author: 
Norakmar Samsudin
Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Wednesday, June 10, 2015