Semarak Bangsawan 2015 Lebih Meriah Dengan Naskah Baru

Berbanding suatu masa dahulu, persembahan bangsawan hari ini semakin dilupakan dan mungkin sedikit asing bagi generasi hari ini. Demi memelihara agar seni persembahan yang satu ini tidak lenyap ditelan zaman, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN)  serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia telah memperkenalkan program Siri Semarak Bangsawan semenjak lapan tahun  yang lalu.



Saban tahun, persembahan yang berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan daripada penonton. Sederetan naskah terbaik disajikan dalam usaha menarik penonton baru yang terdiri daripada generasi muda hari ini.



Bagi memastikan usaha tersebut memberikan kejayaan yang berterusan, JKKN pada tahun ini cuba memberi peluang kepada pengkarya-pengkarya seni bangsawan ini mengetengahkan

naskah-naskah baru untuk dipersembahkan kepada umum. Bagaimanapun, dalam masa yang sama, elemen-elemen dalam naskah bangsawan tetap dikekalkan keasliannya.



Sebagai pembuka tirai Siri Semarak Bangsawan 2015 yang dirasmikan oleh YBhg Tuan Haji Mesran Mohd Yusop, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Kebudayaan dan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara bersama YBhg Datuk Haji Mhd Nordin Abd Aziz, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, menampilkan teater bangsawan ‘Raja Ku Puteh’ yang diarahkan oleh Raja Azrey dan merupakan terbitan Geliga Merah Opera.



Naskah yang menampilkan Lokman Harmin, Wan Wala, Puteri Laila, Wan Raja, Vicha dan Bocil Saywho ini mengisahkan tentang Raja Engku Puteh merupakan pemerintah di negara Cempura Emas yang sangat disukai oleh rakyatnya kerana sifat peramah dan mesranya. Walau pun dirinya berkulit hitam tetapi Raja Engku Puteh tidak pernah merasa terganggu, malah sangat tertarik hati dengan Puteri Kurnia anakanda kepada Raja Senyum.



Suatu hari, Puteri Kurnia telah dibawa berjumpa dengan Raja Engku Puteh untuk berkenal-kenalan. Namun, sesuatu yang pelik terjadi apabila Raja Engku Puteh telah diserang sawan setelah menatap wajah Puteri Kurnia. Raja Engku Puteh menjadi binggung dengan penyakit yang dihadapinya. Suatu petang, ketika sedang tidur Raja Engku Puteh telah didatangi ayahandanya dalam mimpi dan memberitahu penyakitnya itu disebabkan oleh sumpahan Pawang Rendra. Maka bermulalah pengembaraan Raja Engku Puteh untuk mencari Pawang Rendra dan sekaligus mengubati penyakitnya.



Antara naskah lain yang bakal dipentaskan selepas ini ialah ‘Awang Kudis Buta’, ‘Kota Lukut’, ‘Nila Kesuma’, ‘Sumpahan Nujum Perawan’, ‘Dewa Satria Lestari’ dan lain-lain. Tiket-tiket yang berharga RM10 dan RM50 boleh didapati dengan menghubungi Urusetia Semarak Bangsawan di JKKN atau Jabatan Kebudayaan dan Sukan DBKL. 

 

Akhbar: 
Media Hiburan
Publish date: 
Friday, April 17, 2015
Kemas kini terakhir: 17 July 2019, 05:20pm
Facebook JKKN Instagram JKKN Youtube JKKN Twitter JKKN RSS JKKN