Selami pelbagai budaya Sabah

Menyelami kebudayaan di dua daerah di utara Sabah memberi berharga kepada 90 peserta Jelajah Budaya Zon Sabah 2014. Program anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Sabah yang diadakan selama tiga hari baru-baru ini, turut disertai peserta dari pelbagai jabatan dan agensi, termasuk pengamal media dengan kekuatan logistik sebanyak 15 kereta dan 20 motosikal berkuasa tinggi.

 

Antara daerah dilawati ialah Kota Belud iaitu di Kampung Siasai Jaya, seterusnya ke Kudat.

 

Program julung kali bertujuan memperkenalkan budaya setempat khusus kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang banyak membantu dalam aktiviti kebudayaan bersama JKKN.

 

Penyelaras program, Rosdianah Roman, 34, berkata, program itu mendedahkan pelbagai budaya di negeri ini, khususnya kepada golongan atasan.

 

"JKKN melaksanakan pendekatan baru melalui kerjasama dijalankan bersama kelab motosikal berkuasa tinggi.

 

"Pendekatan itu dapat menarik perhatian masyarakat melalui penjelajahan dari Kota Kinabalu ke daerah Kota Belud, seterusnya ke Kudat," katanya.

 

Rosdianah berkata, program itu turut menekankan pertukaran budaya selain memberi pe­ngetahuan baru mengenai cara hidup yang diamalkan di sesebuah kawasan.

 

Peserta juga didedahkan kepada amalan seharian masyarakat setempat seperti masakan, permainan tradisional dan adat resam melalui program anak angkat.

 

"Pendekatan seperti itu juga memberi peluang membantu memperbaiki kekurangan di kawasan itu, selain merapatkan silaturahim antara peserta dan penduduk," katanya.

 

Peserta jelajah, Noraisah Sali, 19, berkata, program itu unik kerana peserta berpeluang melihat hasil kraf, cara hidup dan budaya masyarakat di lokasi dilawati, khususnya di Sabah.

 

Katanya, melalui jelajah itu dia turut mendapat rakan baru daripada pelbagai latar belakang suku kaum.

"Ini kali pertama saya menyertai konvoi atau jelajah dan menyeronokkan kerana dapat melihat pemandangan indah sepanjang perjalanan, selain menyelami budaya masyarakat setempat.

 

"Antara pengalaman berharga iaitu melihat proses membuat parang dari mula hinggalah selesai serta merasai keenakan kuih tradisi masyarakat di Kota Belud iaitu penjaram," katanya.

 

Peserta Nora Sali, 22, gembira menyertai jelajah sambil menyifatkan kebudayaan etnik di negeri Sabah nyata berbeza berbanding masyarakat Orang Asli di Semenanjung.

 

"Sabah negeri cantik dan penduduknya sangat mesra, selain budayanya berbeza dengan etnik di Semenanjung. Jelajah ini juga memberi saya peluang mengetahui budaya baru di negeri lain," katanya.

 

Terdahulu, pelbagai pengisian menarik dijalankan sepanjang program jelajah, antaranya demonstrasi membuat parang, demonstrasi masakan tradisi tempatan daerah, pembuatan manik masyarakat Rungus dan pelbagai aktviti lain.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/19531#sthash.WebDQDt6.dpuf

Author: 
Erdiehazzuan Ab Wahid
Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Sunday, December 28, 2014