Seiringkan muzik tradisional, moden

PENGLIBATAN beliau dalam bidang seni mungkin sesuatu yang di luar jangkaan. Ini kerana sedari kecil lagi dia telah diberikan pendedahan mengenai seni oleh kedua-dua orang tuanya.

Seiringkan muzik tradisional, modenMeskipun menentang ketika itu, beliau mengakui paksaan tersebut meletakkan di mana dia berada kini.

Jelasnya, siapa sangka seawal usia 10 tahun lagi, dia perlu memaksa diri meminati bidang seni.

"Waktu kecil dahulu amat berbeza dengan sekarang. Walaupun tidak menyukai sesuatu yang disuruh oleh kedua-dua orang tua saya, tetapi saya ikut sahaja kemahuan mereka.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana mereka telah melihat dan nampak di mana masa hadapan saya," katanya.

Ditemui pada majlis sidang media Konsert Ekstravaganza Caklempong 2016 baru-baru ini, pemilik nama Mulyazi ini sempat berkongsi pandangannya mengenai muzik tradisional yang semakin dipandang enteng oleh generasi kini.

Katanya yang merupakan pengarah muzik bagi Kelab Kesenian JKKN Negeri Sembilan, pihaknya memainkan pelbagai peranan dalam memastikan muzik tradisional terus mendapat tempat di Malaysia khususnya.

"Saya sendiri berharap muzik moden tidak akan menenggelamkan muzik tradisional. Ini penting kerana muzik tradisional adalah jati diri atau perkenalan kepada masyarakat Melayu.

"Sementelah setiap negeri atau masyarakat tertentu mempunyai muzik-muzik yang menjadi lambang kepada mereka," katanya.

Kerana itu, penggiat seni yang berusia 40 tahun ini berharap muzik tradisional dan moden seiring dimartabatkan.

"Apa yang saya lihat, muzik tradisional perlu diberi banyak ruang untuk dikomersialkan.

"Mungkin sebelum ini pejuang-pejuang muzik tradisional banyak berasal dari kampung, jadi mereka kurang pendedahan mengenai perkara tersebut.

"Bagaimanapun, ia bukan alasan untuk meninggalkan muzik tradisional di belakang sebaliknya, lakukan pembaharuan dengan menarik minat generasi muda ke arah muzik ini. Biarpun mengambil masa panjang, tetapi usaha dan tindakan pantas perlu dilakukan," katanya.

Bergelar pengarah muzik juga merupakan kesempatan kepada Mulyazi lebih mendalami pelbagai genre muzik terutamanya yang bercirikan tradisional.

"Pada awalnya caklempong juga sesuatu yang baharu dalam dunia saya. Tetapi saya cuba mendekati dan menjiwainya dan saya dapati ia bukan alat muzik yang janggal.

"Ini kerana walaupun bermain Piano namun, apabila saya mendengar nada-nada caklempong dan bandingkan dengan nada piano, ianya sama sahaja," katanya yang berpengalaman 30 tahun dalam bidang muzik dan pernah menjadi penyanyi hotel dan kelab.

Kerana itu, ia bukan cabaran besar baginya apabila ditugaskan menjadi pengarah muzik bagi Konsert Ekstravaganza Caklempong 2016 itu.

Berbicara mengenai caklempong, katanya, keunikan alat muzik tersebut seharusnya diuar-uarkan kepada setiap generasi bermula sedari kecil.

"Kita boleh cuba dengan menggunakan caklempong menjadi instrumen apabila mempersembahkan lagu-lagu moden.

"Saya yakin apabila mendengar alunannya yang merdu, mereka akan tertarik kerana ia bukan sahaja sesuai untuk muzik klasik, tradisional atau Nusantara sebaliknya muzik moden juga," katanya yang terlibat dalam pementasan Teater Randai Cindua Mato di Istana Budaya baru-baru ini.

Mengenai penglibatannya menerusi Konsert Ekstravaganza Caklempong 2016 pula, kata Mulyazi, dia berbangga kerana berpeluang mencipta kelainan menerusi pelbagai muzik dan persembahan yang di adakan.

"Ini merupakan konsert kali ketiga, sudah tentu pelbagai keistimewaan ditampilkan. Menariknya, lagu-lagu terpilih akan diiringi alat muzik caklempong.

Pengalaman berharga

Dalam pada itu, Mulyazi memberitahu, bertindak sebagai pengarah muzik bagi Kelab Kesenian JKKN Negeri Sembilan selama lima tahun memberikan pelbagai pengalaman hebat kepadanya.

"Menerusi kumpulan ini, pelbagai aktiviti saya dan rakan-rakan seperjuangan jalankan. Sebagai jentera kerajaan, kami bertindak untuk memastikan kewujudan kumpulan ini berjaya menyampaikan mesej, misi dan visi yang direncanakan.

Selain itu, kumpulan kesenian berkenaan turut menjalankan kelas-kelas muzik di sekolah-sekolah sekitar Negeri Sembilan.

"Kelas ini dikelolakan oleh kumpulan ini untuk menyuntik semangat cintakan seni daripada alam persekolahan," katanya.

Sedikit pencapaian kumpulan kesenian tersebut seperti Persembahan Muzik Asli, Program Pusat Seni Setempat, Persembahan Sabah Folklore Festival, Pesta Gendang Nusantara Melaka, Program Merakyatkan Seni dan Budaya, Persembahan Perayaan Rumah Terbuka Peringkat Negeri dan Kebangsaan, Asean Music Tradisional Camp dan Festival Uskudur Folklore Dance Istanbul, Turki.

Author: 
Marina Shahabuddin
Akhbar: 
Sinar Harian
Publish date: 
Sunday, May 22, 2016
Facebook JKKN Instagram JKKN Youtube JKKN Twitter JKKN RSS JKKN