Raja Ku Puteh naskhah segar Raja Azrey

Kalau diikutkan persembahan bangsawan mempunyai tertib tersendiri terutama dalam penekanan gaya bahasa dan cara percakapan yang lembut dan teratur.

Bagaimanapun, sesuatu perlu dilakukan dalam pementasan bangsawan untuk mengelakkan seni yang pernah mengecapi kegemilangan suatu ketika dahulu terpinggir dan seterusnya pupus ditelan arus kemodenan.

Tidak hairanlah, Siri Semarak Bangsawan 2015 edisi kelapan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuka peluang kepada karya baru.

Namun, elemen dalam teater bangsawan tetap dikekalkan keasliannya dan hanya ditambah sedikit elemen baru bagi menarik minat generasi muda dan mengikut peredaran zaman.

Berpandukan kelonggaran yang diberikan itulah, Raja Azrey Raja Kamaruzzaman menerusi produksinya Geliga Merah Opera (GMO) menghasilkan naskhah segar berjudul Raja Ku Puteh yang dipentaskan di Auditorium DBKL, baru-baru ini.

Ketika ramai penerbit dan pengarah berlumba-lumba menampilkan cerita memaparkan hero kacak yang dipadankan dengan heroin cantik, dia pula bertindak sebaliknya.

Tanggungjawab sebagai hero iaitu Raja Ku Puteh dibawa Lokman Harmin. Dia mungkin kurang kacak dibandingkan dengan hero terkini, namun Lokman mampu membawa watak berkenaan dengan hebat sekali.

Bergandingan dengannya ialah Puteri Laila yang membawa watak Puteri Kurnia, Wan Wala (Raja Ku Puteh 2), Bocil Saywho (Raja Tunggal Al Salam), Vicha Saywho (Permaisuri Intan), Shazli Ekzos (Pawang Rendra), Wan Raja (Pendeta Kilat), Ali (Guruh), Weera (Datuk Samar) dan Bakar Din (Raja Senyum).

Bahkan Raja Azrey juga menghasilkan montaj bagi membantu kronologi cerita ditampilkan menerusi skrin yang diletakkan di tepi pentas dan rasanya ia tidak bertentangan dengan konsep bangsawan itu sendiri.

Raja Ku Puteh berkisarkan mengenai seorang putera raja bernama Raja Engku Puteh, pemerintah di negara Cempura Emas selepas kemangkatan ayahandanya. Baginda sangat disukai rakyatnya kerana sifat peramah dan mesranya.

Walaupun dirinya berkulit hitam, tetapi Raja Engku Puteh tidak pernah rasa terganggu. Baginda yang sudah bersedia untuk berumah tangga sangat tertarik hati dengan Puteri Kurnia, anakanda kepada Raja Senyum.

Lokman tak sangka diberi watak utama

Persembahan ini menyaksikan persembahan semua pelakon tersusun mengikut arahan Raja Azrey.

Plot ceritanya juga kemas tidak meleret-leret selain aspek kesan khas bunyi untuk babak pertarungan dan cemas sangat mengesankan serta membantu jalan cerita.

Lokman yang berpengalaman dalam pentas teater tidak bermasalah melakonkan wataknya dengan baik. Begitu juga dengan barisan pelakon lain yang ditampilkan.

Kemunculan Vicha dan Bocil yang berasal dari Indonesia menjadi antara elemen yang menarik penonton untuk hadir. Bagaimanapun, disebabkan gementar kerana ramai penonton yang hadir pada malam kedua persembahan, Vicha tersilap menuturkan dialog berbunyi ‘Okaylah’ sehingga mengundang ketawa penonton, sedangkan ayat yang sepatutnya dituturkan ialah ‘baiklah’.

Keseluruhannya, pementasan Raja Ku Puteh selama tiga malam yang menjadi pembuka tirai Siri Semarak Bangsawan 2015 tidak mengecewakan. Bahkan ia mampu menjadi daya penarik untuk menggamit kehadiran penonton pada persembahan berikutnya selepas ini.

Lokman mengakui selama terbabit dengan teater, dia tidak pernah membayangkan untuk membawa watak utama.

“Selalunya watak utama mestilah kacak dan menawan. Jadi, saya mulanya terkejut apabila diberitahu kena bawa watak utama. Pelbagai persoalan melanda tapi saya anggap peluang diberikan oleh Raja Azrey ini satu cabaran.

“Tak dinafikan saya ada kekuatan sendiri tapi dalam teater ini saya turut dibantu oleh Wan Wala, Bocil dan Vicha. Saya tumpang populariti mereka tapi saya juga kena buktikan bakat yang ada agar tak tenggelam,” katanya yang terharu dengan sambutan diberikan.

Raja Azrey pula berkata, awalnya cerita ini dinamakan Putera Raja Sulong, namun ditukar tajuknya selepas perbincangan dengan pihak JKKN.

“Memang saya nak bawa kisah orang berkulit hitam. Dua kali saya hantar kertas kerja dalam sesi ‘pitching’ dan panel penilai bagi idea untuk tukar kepada tajuk ini.

“Awalnya saya bimbang juga nak gunakan tajuk ini tapi apabila difikirkan tiada salahnya berbuat demikian. Saya juga ambil pelakon yang kuat dan popular untuk membantu Siri Semarak Bangsawan sendiri.

“Tak sangka naskhah ini diberi peluang jadi pembuka tirai. Saya lega apabila penonton boleh menerimanya dan ketawa. Apapun karya ini mempunyai mesej tersendiri iaitu warna kulit bukan ukuran kerana yang dilihat ialah hati,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 10:11 AM

RAJA Ku Puteh cuba mencari Pawang Rendra bagi menghapuskan sumpahan terhadapnya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43643#sthash.xAHgEIHu.dpuf

Author: 
Ridzuan Abdul Rahman
Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Tuesday, April 14, 2015