Rais Yatim Gesa Penggiat Boria Cantum Budaya Pelbagai Kaum Dalam Persembahan

BAYAN LEPAS, 30 April (Bernama) -- Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim menggesa penggiat boria agar mencantumkan program seni dan budaya pelbagai kaum dalam persembahan mereka.

Beliau berkata perkara itu harus dimulakan di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi agar dapat dikembangkan secara meluas.

"Semua masyarakat ada budayanya, kita harus mewujudkan identiti sendiri dan cantumkan ia menjadi satu program persembahan," katanya ketika berucap menutup Festival Boria 1Malaysia di Kampung Seronok, di sini malam Sabtu.

Beliau berkata ini kerana persembahan kebudayaan yang menjadi produk pelancongan harus memaparkan kesemua budaya yang ada di negara ini untuk tatapan pelancong asing.

Katanya kerajaan sudah berusaha ke arah itu menerusi persembahan kebudayaan yang dijalankan secara bersama kementeriannya dan Kementerian Pelancongan.

Pada majlis Rais turut menyampaikan netbook kepada 12 pelajar sebagai simbolik penyerahan bantuan komputer percuma kepada pelajar cemerlang di negeri ini.

Beliau juga menandatangani plak catatan rekod Malaysia Book of Records bagi penyertaan boria teramai iaitu 2,811 orang dari pelbagai kaum.

Selain itu, Rais turut menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan boria bagi tiga kategori termasuk kategori terbuka yang dimenangi Angkatan Budaya Sari Pulau Pinang.

Akhbar: 
Bernama
Publish date: 
Saturday, April 30, 2011