Putera mahkota hidup gelandangan

Siri Semarak Bangsawan 2015 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Kementerian Pelancongan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ternyata mempunyai kelompok peminatnya sendiri apabila setiap pementasan mendapat sambutan hangat.

Kali ini, giliran Opera Sri Bandaraya dari DBKL akan tampil dengan naskhah berjudul Anak Raja Anak Papa yang dipentaskan di Auditorium DBKL, Jalan Raja Laut, bermula malam ini hingga 11 Oktober, jam 8.30 malam.

Karya dan arahan Lenny Erwan ini dijayakan pelakon Opera Sri Bandaraya iaitu Nor Mohd Izwan Ismail, Griffin Robert, Nor Jannah Atan dan Zainureen Zulkeflee.

Opera Sri Bandaraya ditubuhkan pada 2008 dengan pementasan bangsawan pertama berjudul Batu Belah Batu Bertangkup yang diadaptasi daripada filem Melayu lama.

Teater ini diarahkan Nasri Ayop yang menjadi titik tolak kepada perkembangan Opera Sri Bandaraya sehingga kini. Namanya tercetus daripada ilham Pengurus Kebudayaan Dan Kesenian, JKPS DBKL, Mohamed Fauzi Ahmad.

Sebahagian besar pelakon yang terbabit dalam pementasan teater Opera Sri Bandaraya terdiri daripada pegawai dan kakitangan DBKL di samping beberapa bakat jemputan.

Sehingga kini, Opera Sri Bandaraya sudah mementaskan lapan pementasan bangsawan yang diarahkan mereka yang berpengalaman.

Lenny Erwan yang bertindak selaku pengarah Anak Raja Anak Papa berkata tidak ada masalah untuknya mengendalikan pementasan ini kerana majoriti pelakon berada di bawah satu bumbung. Ia secara tidak langsung memudahkan mereka melakukan latihan.

“Semua yang terbabit dalam pementasan ini faham apa yang saya mahukan. Mereka tidak sabar beraksi di atas pentas.

“Ilham menghasilkan naskhah ini diperoleh daripada cerita yang pernah kita baca dan dengar selama ini malah ia mudah difahami.

“Ia menyelitkan banyak pengajaran termasuk perkara yang indah di mata belum tentu realitinya begitu,”katanya.

Anak Raja Anak Papa mengisahkan Edward Tudor, putera mahkota England bosan dengan kehidupan bangsawan manakala Tom Canty yang hidup melarat menyimpan impian mengecapi kehidupan mewah seperti keluarga diraja.

Kedua-dua mereka lahir pada tarikh dan tahun yang sama malah mempunyai wajah seiras. Gara-gara satu insiden di taman istana, kehidupan mereka mula berubah.

Pengembaraan Edward sebagai anak gelandangan bermula, demikian juga kejanggalan Tom apabila disanjung sebagai anak raja.

Edward mendengar keluhan rakyat yang tidak pernah dijangkanya manakala Tom pula mula menyedari kehidupan keluarga diraja tidak seindah yang digambarkan.

Selepas apa yang dilalui itu, mereka berusaha untuk kembali kepada kehidupan asal.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 4:59 AM

- See more at: http://origin.hmetro.com.my/node/83579#sthash.1Gq1cXic.dpuf

Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Friday, October 9, 2015