Pusat seni semarak budaya

Kumpulan Kesenian Perak mempersembahkan Tarian 1Malaysia pada pelancaran Pusat Seni Setempat di Ipoh, baru-baru ini.

 

IPOH 16 Feb. - Kewujudan Pusat Seni Setempat (PSS) merupakan salah satu usaha Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak untuk mendekatkan rakyat dengan kegiatan seni dan budaya di negeri ini.

 

Penggiat seni boleh menjadikan PSS medan memasarkan karya selain mempamerkan karya mereka kepada khalayak umum.

 

Justeru, JKKN telah memantapkan PSS yang sebelum ini diadakan di Gerbang Malam di bandar raya ini yang dilihat kurang mendapat sambutan orang ramai.

 

JKKN mahu mengubah persepsi masyarakat dengan menjadikan kawasan dan pentas terbuka jabatan itu di Jalan Callweld off Jalan Raja Dihilir di sini sebagai lokasi baru PSS menggantikan Gerbang Malam.

 

Kawasan PSS baru itu telah dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin serentak pelancaran Kalendar Aktiviti JKKN 2011 dan PSS di pentas terbuka JKKN di sini, baru-baru ini.

 

Sempena pelancaran PSS itu, telah diadakan persembahan kebudayaan pelbagai kaum termasuk senam seni, pameran dan persembahan silat lintau dari Tanjung Rambutan.

 

Persembahan dalam suasana santai itu dilihat mampu menarik generasi muda ke arah menghargai seni dan budaya.

 

Zainol Fadzi berkata, JKKN Perak telah merancang 117 program bagi melaksanakan kegiatan seni dan budaya di negeri ini sepanjang tahun ini.

 

Antara program tersebut adalah bimbingan seni budaya, pusat seni setempat (PSS), kuliah budaya, bengkel kemahiran seni dan manisestasi bahasa.

 

Selain itu, bakal diadakan program penyelidikan seni budaya, forum, apresiasi tari, pesta durian, semarak Ramadan dan program merakyatkan seni (PMS).

 

Kata Zainol Fadzi, program yang dirancangkan JKKN itu sejajar dengan usaha ke arah melahirkan masyarakat Malaysia yang berbudaya luhur berteraskan gagasan 1Malaysia.

 

Ujarnya, kerajaan negeri akan terus menyokong program JKKN dalam memberi ruang kepada masyarakat mendapatkan khidmat dan maklumat yang berguna berkaitan aktiviti seni budaya.

 

Sementara itu, Pengarah JKKN Perak, Abdul Mutalib Abdul Rahman berkata, pihaknya akan menyusun semula program PSS yang sebelum ini diadakan di Gerbang Malam.

 

Menurutnya, PSS merupakan aktiviti penting untuk mendekatkan masyarakat terutama di kawasan bandar dengan kegiatan seni dan budaya.

 

"PSS yang diadakan setiap bulan akan memberi ruang kepada penggiat seni untuk mengetengahkan karya mereka.

 

"Ia sekali gus memberi ruang kepada penggiat seni untuk mempamerkan karya masing-masing selain mewujudkan sumber menjana pendapatan kepada pengusaha seni tempatan,'' katanya.

 

Timbalan Yang Dipertua Majlis Kebudayaan Negeri (MKN) Perak, Mohd. Yusop Najmi Othman, 61, berkata, usaha menjadikan kawasan jabatan sebagai tempat penggiat seni berkumpul merupakan satu idea bijak.

 

"Tempat ini dekat dengan pekan dan masyarakat senang datang. Pengkarya seni boleh datang ke sini berbanding dengan kawasan sebelum ini, Gerbang Malam," katanya.


Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Thursday, February 17, 2011