PST2015 martabat kesenian tradisional

  • PST2015 martabat kesenian tradisionalPementasan Mek Mulung di pentas berprestij, Istana Budaya benar-benar menunjukkan usaha gigih dan jitu. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
 1 / 2 

KEJAYAAN pementasan Mek Mulung di pentas berprestij, Istana Budaya benar-benar menunjukkan usaha gigih dan jitu daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam usaha memulihara dan membangunkan kesenian tradisional negara.

Sehubungan itu, demi mengangkat martabat seni tradisional agar tidak ditelan arus kemodenan, JKKN meneruskan lagi program Panggung Seni Tradisional 2015 (PST2015) yang kini sudah memasuki tahun keenam penganjurannya.

Secara tidak langsung, program seperti ini dapat memberi impak baharu dalam membantu menyemarakkan seni dan industri pelancongan negara khususnya di Kuala Lumpur.

Tambahan pula, PST2015 merupakan medium persembahan Kesenian Tradisional Malaysia yang dipentaskan secara berjadual di Kuala Lumpur sejak 2013 lagi.

Bagi menjelaskan lebih lanjut, Zass mendapatkan Timbalan Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop menerusi satu sidang media yang disusun, baru-baru ini.

Bolehkah anda terangkan lebih lanjut mengenai PST2015?

Sejak 2013, Panggung Seni Tradisional (PST) merupakan medium persembahan Kesenian Tradisional Malaysia yang dipentaskan secara berjadual di Kuala Lumpur. Program ini memberi peluang kepada pelancong dan peminat kesenian tradisional untuk menyaksikan persembahan ini di samping memupuk minat dan cinta akan kesenian tradisional negara.

Sehubungan itu, kesinambungan dari PST2014, JKKN meneruskan lagi program itu pada tahun ini sekali gus menjadikannya sebagai program tahunan dalam usaha menampilkan kesenian tradisional Malaysia yang autentik dan klasik. Malah, melalui program perantisan, JKKN telah mengangkat beberapa kesenian tradisional yang lengkap dan mampu diketengahkan di pentas perdana.

Apakah objektifnya?

Tujuan utama JKKN adalah untuk memberi peluang kepada warga Kuala Lumpur dan peminat kesenian tradisional terutama pelancong menyaksikan kesenian ini dengan lebih dekat. Mana tidaknya, kesenian tradisional ini juga merupakan salah satu produk pelancongan dari negara kita. Malah, usaha JKKN ini juga bagi memastikan kesenian ini terus dipulihara dan dikekalkan agar tidak ditelan dek zaman.

Kesenian tradisional yang bakal dibawakan pada PST2015?

PST2015 bakal bermula dari Mac sehinggalah November depan. Secara keseluruhannya, ia akan melibatkan 230 peserta daripada 14 kumpulan dengan 14 persembahan kesenian. Baru saja membuka tirai PST2015 adalah persembahan Dondang Sayang dari Kumpulan Kesenian Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) pada 27 dan 28 Mac lalu.

Persembahan lain adalah Dramatari Klasik pada 24 dan 25 April, Teater Tradisional Mak Yong (29 & 30 Mei), Ghazal Parti (28 & 29 Ogos), Main Puteri (18 & 19 September), Opera Cina (30 & 31 Oktober) dan diakhiri oleh Koleksi Tari Klasik Malaysia pada 20 dan 21 November depan. Semua persembahan itu akan dijalankan di Auditorium JKKN pada Jumaat dan Sabtu, jam 8.30 malam.

Bagi PST2015, apakah akan ada karya baharu yang ditonjolkan?

Pihak JKKN mencuba sebaik mungkin untuk mengekalkan nilai autentik dalam kesenian tradisional itu. Jadi, kita tidak terlalu menekankan tentang karya baharu, tetapi lebih kepada mengekalkan autentik tradisi itu sendiri.

Jika dilihat, apa yang dipersembahkan pada PST2015 semua bersifat klasik dan tradisional. Tiada yang baharu.

Tambahan pula, kesenian tradisional ini ada yang tidak begitu popular.Kesenian tradisional ini sudah jadi satu warisan dan sekiranya tidak diangkat, maka golongan muda mungkin tidak akan mengetahuinya. Matlamat adalah untuk melihat generasi akan datang terus diberi pendedahan terhadap kesenian tradisional ini.

Tidak dapat dinafikan, dalam menghadapi globalisasi ini, kita terpaksa berlawan dengan pelbagai medium hiburan baharu. Jadi, inilah adalah salah satu usaha dan tanggungjawab JKKN dalam memastikan kesemua kesenian tradisional dapat dikekalkan dan terus dipelihara.

Jumlah sasaran ditetapkan dan bagaimana untuk mendapatkan tiket persembahan?

Secara keseluruhannya, apa yang kita harapkan akan ada peningkatan dari setiap tahun. Malah, untuk dua tahun kebelakangan ini, sememangnya ada menunjukkan persembahan yang memberangsangkan. Pada  2013 dan 2014, jumlah keseluruhan yang menonton persembahan PST adalah seramai 4,296 orang.

Pada 2013, kita mencatatkan jumlah 1,800 penonton dan  2014 pula seramai 2,496 penonton. Ini menunjukkan berlaku pertambahan jumlah penonton sejumlah 696 orang dan mengalami peratusan peningkatan sebanyak 16 peratus dengan jumlah keseluruhan 28 persembahan.

Bagi PST2015 pula, kami menyasarkan peningkatan 30 peratus dan harapnya kami berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan ini. Bagi 2015, JKKN memperkenalkan sistem pembelian tiket secara online menerusi www.airasiaredtix.com. Tiket-tiket bernilai RM25 dan RM55.

Harapan anda?

Kami berharap program ini dapat memberi peluang kepada semua terutamanya generasi muda menghayati keindahan kesenian tradisional Malaysia yang semakin dilupakan. Kami juga sangat berharap program ini dapat menarik minat pelancong asing dan tempatan untuk mengenali seni budaya warisan turun-temurun masyarakat Malaysia.

 

Author: 
Norhidayyu Zainal
Akhbar: 
Sinar Harian
Publish date: 
Monday, April 6, 2015
Kemas kini terakhir: 18 November 2019, 12:47pm
Facebook JKKN Instagram JKKN Youtube JKKN Twitter JKKN RSS JKKN