Program Merakyatkan Seni curi tumpuan

Pelbagai acara menarik menyerikan Program Merakyatkan Seni dan Budaya (PMS), Budaya Dijunjung, Gagasan Didukung yang akan berlangsung dua hari di Sekolah Kebangsaan Changkat Jawi, Jalan Tengku Budriah, Kurung Anai, Arau dekat sini dari 14 hingga 15 Disember ini.

 

Antaranya, program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis bersama Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Perlis itu akan menampilkan persembahan muzik asli daripada Kumpulan Antatika dan persembahan akuistik lagu-lagu puisi dan ketuhanan oleh Kumpulan Kesenian JKKN Perlis pada sebelah siang.

 

Pengarah JKKN Perlis, Mohd. Rizal Ismail memberitahu, pada sebelah malam hari yang sama, pertandingan lagu-lagu patriotik anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan diadakan selain turut menampilkan artis undangan, Aris Ariwatan.

 

"Keesokan harinya (15 Disember), pertandingan sukan rakyat atau tradisonal seperti permainan batu seremban, congkak, dam aji akan berlangsung selain pertandingan karom dan perlawanan bola sepak berkain pelikat dan sepak raga bulat yang bakal menjadi tarikan pengunjung ke program ini dari pukul 8.30 hingga 1.00 tengah hari.

 

"Ia kemudian disusuli dengan kenduri rakyat yang dijalankan secara gotong-royong oleh penduduk di bawah 14 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Sanji selain persembahan Gendang Terinai Kumpulan Tok Pendekar," kata beliau di sini, hari ini.

 

Menurutnya, dari pukul 2 hingga 7 malam pula, pengunjung akan dapat menyaksikan adat berendoi dan cukur kepala bayi di samping diadakan marhaban, berzanji dan pertunjukan silap mata.

 

"Sebelah malamnya berlangsung Forum Perdana Rakyat yang menampilkan ahli panel Huziloi Hussin, Ustaz Sheikh Ahmad Fisol Omar dan Ustazah Norhafizah Musa dengan Hashim Othman sebagai moderator," tambah beliau.

 

Selain itu, kata Mohd. Rizal, pameran daripada agensi kerajaan akan diadakan sepanjang program tersebut yang mendapat kerjasama daripada pejabat DUN Guar Sanji bertujuan memperkenalkan kembali permainan tradisonal, gotong-royong, memupuk perpaduan dan melahirkan masyarakat 1Malaysia.

 

"Ia akan dirasmikan pada 15 Disember oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Jawatankuasa Hadhari dan Pembangunan As-Sunnah negeri, Jafperi Othman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji pada 15 Disember," kata beliau.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Tuesday, December 13, 2011