Program Kembara Berakit Antarabangsa Mampu Semarak Pelancongan Berasas Budaya

KUALA LIPIS, 9 Mei (Bernama) -- Program Kembara Berakit Antarabangsa Sungai Pahang yang menampilkan seni budaya dan warisan negara boleh menyemarakkan kegiatan pelancongan berasaskan budaya di negara ini, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'cruz.

 

Beliau berkata program anjuran bersama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Pelancongan itu mampu menarik lebih ramai pelancong khususnya dari Eropah yang meminati seni budaya dan menggemari aktiviti lasak ke negara ini.

"Kekayaan seni budaya dan warisan merupakan antara tarikan utama pelancongan dunia dan Malaysia merupakan antara negara yang dianugerahkan kekayaan itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran program berkenaan di Jeti Kuala Lipis di sini, Isnin.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan melepaskan sebanyak 38 kumpulan perakit meliputi hampir 300 peserta yang akan menghilir Sungai Pahang sehingga 14 Mei ini.

Kumpulan berakit tersebut yang akan singgah di beberapa perhentian sebelum berakhir di kampung Kuala Triang, Bera berpeluang menikmati seni budaya dan warisan selain berinteraksi dengan penduduk tempatan.

Antara aktiviti yang diadakan termasuk sukan rakyat, kenduri rakyat, pertandingan gasing, tayangan wayang pacak dan persembahan kesenian tempatan.

Maglin berkata acara tersebut akan diadakan selama tiga tahun berturut-turut sehingga 2013.

"Selepas itu kita akan menambah baik dari setiap aspek dan berusaha menjadikannya sebagai acara tahunan," katanya.

Program itu juga bakal dimasukkan ke dalam kalender pelancongan negara serta dipromosikan di peringkat antarabangsa melalui pejabat Kementerian Pelancongan di luar negara, katanya.

Terdahulu, Tengku Abdullah bertitah acara berakit tersebut secara tidak langsung mampu memacu pertumbuhan ekonomi kampung-kampung di sepanjang Sungai Pahang dengan kehadiran para peserta.

Baginda bagaimanapun bertitah, program itu perlu mengandungi pakej yang berkonsepkan santai dengan mengadakan aktiviti bersama penduduk kampung bagi menarik pelancong berterusan menyertai program tersebut.

Akhbar: 
Bernama
Publish date: 
Monday, May 9, 2011