PMS eratkan perpaduan kaum

MAGLIN Dennis D'Cruz menyampaikan sumbangan kompang kepada Timbalan Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia Wilayah Jengka, Norzalilla Ahmad di Felda Jengka 15, Kuala Krau, kelmarin.

 

KUALA KRAU 20 Dis. - Kerajaan akan mempertingkatkan Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) sebagai strategi meningkatkan perpaduan kaum sejajar dengan gagasan 1Malaysia.

 

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz berkata, program itu bagaimanapun memerlukan sokongan semua lapisan masyarakat dan kaum supaya seni serta budaya warisan dapatdikekalkan.

 

''Daripada adunan budaya masyarakat pelbagai kaum, akan wujud ekspresi budaya dalam bentuk tradisional, moden dan kontemporari yang menjadi kebanggaan semua rakyat.

 

''Usaha itu juga sangat signifikan dalam membentuk nilai-nilai murni dan menjalinkan semangat kerjasama melalui aktiviti bergotong-royong, permainan rakyat, persembahan kesenian dan kebudayaan,'' katanya ketika merasmikan PMS 'Ekspresi Belia Felda' di Felda Jengka 15, di sini semalam.

 

Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Mohamad Razy Mohd. Noor dan Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Saari Din.

 

Maglin Dennis berkata, seni dan budaya tradisional bukan sekadar tarian dan nyanyian semata-mata tetapi definisinya lebih luas mencakupi cara hidup sesuatu bangsa.

 

Katanya, seni dan budaya bukan hanya untuk golongan veteran tetapi membabitkan penglibatan semua lapisan generasi.

 

''Ia membabitkan golongan belia yang produktif dan bersemangat kental serta sarat dengan idea baru yang lebih segar bagi mempertahankan keistimewaan budaya warisan tempatan.

 

''Generasi baru perlu meletakkan seni budaya tradisional di landasan yang betul jika tidak ia akan diresapi budaya luar yang bercanggah dengan cara hidup masyarakat,'' katanya.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Tuesday, December 21, 2010