Petronas hidupkan Main Puteri

1

MAIN Puteri - Angin Tohor merupakan satu inisiatif Petronas bagi menggalakkan persembahan seni dan budaya tempatan.

PETRONAS bersama Jabatan Kebudayan dan Kesenian Negara (JKKN) menampilkan Kelab Kesenian dan Kebudayaan Kampung Pulau Tebu, Kota Bharu, Kelantan yang merupakan penerima Geran Seni Budaya Petronas dengan persembahan Main Puteri, Angin Tohor bersempena program Panggung Seni Tradisional 2015. Pementasan selama dua hari ini telah diadakan pada hujung minggu lalu di Auditorium JKKN, Wilayah Persekutuan, Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur.

Pada asalnya, Main Puteri merupakan satu kaedah perubatan tradisi yang amat popular dan diamalkan oleh masyarakat Melayu Kelantan-Pattani sejak beberapa abad dahulu. Dalam kalangan Tok Teri (Ketua kepada kumpulan Main Teri) sendiri terdapat beberapa pandangan yang berbeza mengenai sejarah dan asal-usul Main Teri.

Mengimbau kembali sejarah permainan ini, ada yang menganggap Main Puteri telah bermula sejak zaman cucunda Nabi iaitu Hassan dan Hussein dan perkataan ‘Teri’ itu dirujuk kepada puteri Nabi, Siti Fatimah. Manakala pendapat yang lain lagi menghubungkan Main Teri dengan hubungan jiwa dan rosak, iaitu tradisi perubatan untuk mematerikan atau menyatukan roh dan jiwa yang sakit.

Dalam perubatan tradisi Main Puteri terdapat gabungan antara unsur Islam dengan unsur magis serta ritual. Selepas sahaja upacara ‘baca kenduri’ yang sebutan bacaannya bercampur antara ayat-ayat al-Quran dengan jampi dan mantera, Tok Teri akan tampil di hadapan para pemuzik dan pesakit yang akan diubati.

Khalayak akan menyaksikan upacara menurun yang benar-benar terjadi di hadapan mereka. Pesakit akan diseru dan dibangkitkan angin dari dalam dirinya dan angin sakit itu akan dipindahkan ke dalam diri Tok Teri yang bertindak sebagai pengantara.

Tok Teri akan bersoal jawab dengan Tok Minduk. Melalui soal jawab antara Tok Teri yang dimainkan oleh Che Mat Jedok atau nama asalnya Che Mohd Zailani Che Moh, dengan Tok Minduk, Awang Mat Akar, maka dirungkai rahsia penyakit yang dideritai oleh pesakit.

Semasa proses perubatan ini, Tok Teri akan berubah-rubah perwatakannya seperti menjadi tok bomoh, tok dalang wayang kulit, tok pendekar, awang pengasuh dan pelbagai watak lain untuk menceritakan kekusutan jiwa pesakit.

Jelas Che Mat Jedok, Main Puteri dikaitkan dengan unsur angin yang akan dibangkitkan oleh Tok Teri atau dalam bahasa Main Teri disebutkan sebagai ‘isih’. Nama-nama isih atau angin tersebut termasuklah Raja Dua Belas yang dikenali sebagai Sulung, Bimbaran Empat, Pahlawan Empat, Sertan Empat, Megat Empat, Cik Siti Putih Nahkoda Anjung, Mamud Kuning Hayun Manis Hitam Ayun Baka, Anak dewa Di Gunung, Awang Pengasuh, Mahat Gemala Gajah, Awang Kasim Gila dan Anak Dewa Tujuh.

Hadir dari jiwa

Tok Teri akan meminta pemuzik yang diketuai oleh Hassan Jantan memainkan pelbagai lagu mengikut jiwa pesakit.

Pada bahagian ini khalayak dapat menyaksikan bagaimana aspek lakonan terbentuk.

Elemen muzik dan unsur nyanyian ini menuntut keupayaan Tok Teri bagi mengalunkan pelbagai lagu dan rentak.

Bagi muzik yang dimainkan pula, pada masa dahulu dikatakan lebih 50 buah lagu dalam Main Puteri, namun hari ini, tidak sampai 10 buah lagu ‘gerak teri’ yang masih dimainkan.

Antara lagu-lagu yang lazim dinyanyikan ialah Kijang Mas, Lagu Mengulit, Lagu Pendekar, Lagu Cik Muda, Lagu Menora, Lagu Cik Kojo dan Lagu Abe. Penggunaan tona suara yang berbeza oleh dua watak ini juga jelas dapat memaparkan watak agresif dan tenang tapi tegas daripada dua orang tokoh yang tersohor ini.

Dalam menghayati persembahan yang sangat berharga ini, terfikir di dalam minda wujudkah generasi pelapis baru yang boleh meneraju seni Main Puteri yang halus dan indah ini.

Main Puteri-Angin Tohor adalah sebahagian daripada trend baru untuk menghidupkan kembali seni persembahan tradisional Melayu dengan cara memperkenalkannya kepada khalayak urban di kota metropolitan.

Usaha Petronas membawa kumpulan ini patut dipuji kerana rata-rata yang hadir menonton pada dua malam persembahan tersebut merupakan pengalaman pertama mereka menyaksikan persembahan Main Puteri.

Bagi pensyarah kanan, Akademik Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Lawrence Ross, Main Puteri yang asalnya merupakan satu cara tradisional untuk mengubati penyakit, dan pada asasnya berkait rapat dengan kepercayaan ghaib

Kini Main Puteri perlu mengalami perubahan supaya ia lebih bermakna dan dapat dipromosikan sebagai sebuah persembahan yang menarik dan unik dalam konteks masyarakat moden masa kini.

“Oleh kerana itu, tokoh-tokohnya terpaksa berinovasi dengan elemen-elemen tambahan seperti lakonan dan tarian serta lebih kreatif dalam memberi nafas baharu kepada seni tradisi yang unik ini,” jelasnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/sastera/petronas-hidupkan-i-main-put...

Author: 
Rasdan Ahmad
Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Sunday, September 27, 2015
Kemas kini terakhir: 22 October 2019, 10:09am
Facebook JKKN Instagram JKKN Youtube JKKN Twitter JKKN RSS JKKN