Perjuangan seni Saba diiktiraf

KUALA TERENGGANU – “Saya tak sangka dapat anugerah ini pada usia 56 tahun kerana telah bergiat lebih 40 tahun bersama lagu dan juga tarian Saba,” kata penerima Anugerah Tokoh Seni Negeri Terengganu 2015, Che Wan Noorsaidi Che Wan Abdul Rahman dari Kampung Kuala Jengal, Dungun.

Che Wan Noorsaidi atau lebih dikenali sebagai Kak Zah Saba sudah dua kali tercalon dalam anugerah berkenaan dan tidak menyangka pencalonan kedua itu membawa tuah kepadanya.

Kak Zah yang sejak kecil lagi didedahkan dengan tarian Saba mempunyai semangat dan minat yang tinggi terhadap tarian itu sehingga namanya digelar Kak Zah Saba.

“Memang dari kecil lagi keluarga Kak Zah selalu memperdengarkan lagu-lagu Saba dan mula mempelajarinya (lagu dan tarian Saba) ketika berusia lebih kurang 13 tahun.

“Sehingga kini Kak Zah masih lagi aktif dengan nyanyian, tarian, kelas latihan serta bergiat dalam bidang teater anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Terengganu,” ceritanya kepada pihak media ketika ditemui pada Majlis Anugerah Tokoh Seni Terengganu, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee dan Pengarah JKKN, Hasryn Izzuddin Mohd Khairy.

Terkini, Kak Zah yang merupakan generasi ke sembilan mewarisi tarian Saba dari arwah ayahnya, Che Wan Abdul Rahman, sibuk menjalankan latihan lagu Nong Sakti yang diadaptasikan kepada seni teater.

“Sekarang giat dengan pementasan teater pula iaitu lagu Nong Sakti yang akan dipentaskan tidak lama lagi,” katanya.

Ibu lima anak itu juga sedikit terkilan kerana tidak ramai generasi muda hari ini mahu mempelajari lagu serta tarian Saba yang mungkin tidak lagi didengari pada masa akan datang.

“Mereka yang dilatih ini pun tak dapat buat yang terbaik sebagaimana tarian Saba sebenar seperti generasi terdahulu main (gayakan),” jelasnya.

Dalam masa sama, demi mempertahankan lagu serta tarian Saba, Kak Zah mula bergiat aktif dengan menjadi tenaga pengajar sejak 1995 lagi dalam usaha mencari generasi pelapis dalam tarian berkenaan.

Sementara itu, berhubung majlis, dua lagi anugerah dipertandingkan iaitu Anugerah Pendukung Seni Negeri Terengganu 2015 dan Anugerah Tokoh Wirama Negeri Terengganu 2015.

Hafsah Khatib Jusoh atau Ma Hafsah, Wan Ahmad Wan Ismail (Ayah Wan), Mohd Nor Sidek (Pak Anang), Othman Harun (Othman Zaharudin Harun) dan Ramli Ibrahim (Abang Li) masing-masing menerima Anugerah Pendukung Seni Negeri Terengganu 2015 manakala Anugerah Tokoh Wirama Negeri Terengganu 2015 diberikan kepada arwah Mazlan Embong iaitu seorang penulis lirik ulik mayang

Akhbar: 
Sinar Harian
Publish date: 
Tuesday, December 8, 2015