Pendidikan awal elak keciciran

(SEBAHAGIAN daripada kakitangan Kemas Johor menyertai Perjumpaan Bersama Menteri Besar Johor di Dewan Sangkar Kristal, Johor Bahru.)

Pendidikan awal bagi kanak-kanak sangat penting untuk mengurangkan risiko keciciran dalam pelajaran, sekali gus menjadi penentu tahap masa depan mereka.

 

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, kehidupan golongan cilik itu tidak seharusnya dibiarkan lompong tanpa mendapat bimbingan awal yang sewajarnya.

 

"Pendidikan awal seperti taska mahupun tadika sangat penting kerana ia juga boleh dijadikan salah satu elemen dalam menentukan sejauh mana mereka boleh berjaya pada masa akan datang.

 

"Tindakan menghantar mereka ke tabika akan mengurangkan risiko keciciran pelajaran, sekali gus membantu mereka lebih mudah memahami apa yang diajar," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan 50 Tahun Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di sini semalam.

 

Hadir sama, Pemangku Ketua Pengarah Kemas, Hassan Mohd. Amin dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri, Asiah Md. Ariff.

 

Lebih 1,500 warga Kemas seluruh negeri berhimpun bagi meraikan ulang tahun berkenaan di samping bertemu para pemimpin masyarakat.

 

Abdul Ghani turut mengalu-alukan tindakan pihak Kemas yang meningkatkan keupayaan pendidik dan pembimbing mereka sehingga ke peringkat sijil dan diploma.

 

Ujarnya, peranan Kemas yang pada dasarnya untuk membasmi 'buta huruf' berjaya melebarkan sayapnya sehingga mampu menerokai bidang kemahiran seperti jahitan, masakan, dandanan diri dan kraf tangan.

 

"Pendidikan dan kemahiran merupakan satu elemen yang selari di zaman ini. Apatah lagi, ia mampu untuk melahirkan generasi bermodal insan terbaik seperti yang diperlukan negara.

 

"Malah peranan Kemas sangat membantu orang Melayu, terutama di luar bandar dan amat penting bagi negara, keluarga dan masyarakat," katanya.

Akhbar: 
utusan malaysia
Publish date: 
Friday, January 27, 2012