Pementasan Mak Yong semakin mendapat tempat

  • Pementasan Mak Yong semakin mendapat tempat
 1 / 1 

SEBELUM ini, jarang sekali dapat kita lihat generasi muda berminat dengan pementasan yang membawakan kebudayaan tradisional masyarakat kita.

Bahkan kebanyakan generasi muda kini lebih berminat dengan pementasan melibatkan genre muzikal dan komedi. Namun berbeza dengan pementasan Mak Yong Gading Bertimang bersempena program Panggung Seni Tradisional 2015, baru-baru ini, generasi muda dilihat memenuhi Auditorium Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic) di Jalan Ampang.

Ternyata, tanggapan ramai yang menganggap teater Mak Yong agak membosankan kerana menampilkan kisah legenda dahulu kala serta dialog Kelantan pekat yang sukar difahami sudah tidak relevan lagi.

Memang benar, persembahan yang ditampilkan oleh Persatuan Penggiat Seni Budaya Kelantan (PESIBAN) masih kekal dengan keasliannya iaitu dibuka dengan lagu “Mengadap Rebab” dan adap lain yang perlu diikuti.

Bagaimanapun menerusi suntikan transformasi yang dibuat oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), elemen terkini yang dimasukkan berjaya mewujudkan kesegaran hingga memikat penonton. 

Tidak terikat dengan naskhah asal semata-mata, ramai yang terhibur menonton persembahan Mak Yong Gading Bertimang arahan Asrulfaizal Kamaruzaman sepertimana mereka menonton pementasan makyung di pentas lebih besar seperti Istana Budaya.

Mak Yong (atau Mak Yong atau Makyung) merupakan sejenis dramatari Melayu tradisional. Dramatari Mak Yong ini merupakan suatu bentuk drama dan tari Melayu yang menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik, vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja.

Dramatari ini dipertontonkan terutamanya di Terengganu, Pattani, Kelantan, Kedah, Perlis serta di Kepulauan Riau - Indonesia.

Mak Yong dipersembahkan sebagai hiburan dan juga sebagai cara perubatan. Makyong dipercayai wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Ia dipentaskan sebagai pementasan diraja di bawah naungan Kesultanan Kelantan sehingga 1920-an. Dengan itu, tradisi ini dikekalkan dalam bentuk asal tanpa meninggalkan peningkatan yang terdapat di istana seperti busana yang dihias cantik.

Persembahan biasanya dibuka dengan lagu Mengadap Rebab diikuti dengan tarian, lakonan dan muzik. Setiap satu cerita mampu dipersembahkan merentasi beberapa amalan dalam siri pertunjukan tiga jam.

Dalam persembahan tradisi di kampung, ia dilakukan dipanggung terbuka yang berlatarkan daun kelapa. Penonton akan duduk di tiga sisi panggung, sisi yang keempat dikhaskan bagi orkestra yang terdiri dari pemain rebab, gendang kepala dua dan tetawak.

Kebanyakan peranan dilakukan oleh wanita dan ceritanya berasaskan cerita rakyat tradisi dengan watak raja, dewa dan pelawak. Makyong dikaitkan dengan upacara di mana pawang cuba menyembuhkan pesakit yang dirasuk melalui nyanyian, tarian bersawai dan menurun.

United Nations Educational Scientific And Cultural Organization (UNESCO) telah menganugerahkan kesenian Mak Yong dengan Third Proclamation of Masterpieces of The Oral And Intangible Heritage of Humanity pada tahun 2005.

Mak Yong Gading Bertimang dramatari luar biasa

BAGI pementasan Mak Yong Gading Bertimang ia ternyata tidak mengecewakan. Teater arahan Asrulfaizal Kamaruzaman ini digarap dengan baik memberikan satu kesan mendalam terhadap anak muda dalam mencintai kesenian dramatari seperti Mak Yong.

Asrul yang turut berlakon sebagai Peran Tua, turut dibantu oleh kombinasi mantap daripada Isey Titan (Peran Muda), Mek Imah (Pakyung), Liyana (Puteri Gading Bertimang) dan Shafic Aminuddin (Budak Cabuk@Dewa Kerma Jaya).

Persembahan ini turut diperkuatkan lagi dengan penampilan pelakon undangan, Rosnan Rahman dan Ismadian Ismail serta tokoh rebab terkenal Che Mat Jusoh.

Asrul dan Isey begitu cemerlang dengan karakter Peran yang sering menggeletek hati penonton dengan celoteh selamba mereka. Bayangkan sebuah naskhah hikayat, tetapi diselitkan dengan isu terkini membuatkan penonton ketawa dengan gelagat mereka.

Ruang pentas yang terhad pula bukanlah halangan untuk mereka menampilkan persembahan terbaik. Begitu juga kehebatan pemuzik pengiring berjaya menimbulkan satu aura muzik yang memikat, selari dengan babak yang berlaku di atas pentas.

Program Panggung Seni Tradisional 2015 mendapat nafas baru kerana menerima dana daripada Petronas bagi memulihara dan mengekalkan seni warisan tradisi  kepada masyarakat.

Secara dasarnya Mak Yong Gading Bertimang mengisahkan tentang Raja Besar Sepancar Alas yang telah kehilangan dua orang putera ketika masih kecil. Mereka telah ghaib tanpa berita.

Namun, baginda dikurniakan seorang lagi cahaya mata yang dinamakan Puteri Bongsu. Baginda berniat sekiranya Puteri Bongsu tidak hilang (ghaib) seperti dua anaknya sebelum ini, maka baginda akan menyerahkan anaknya itu kepada Gajah Putih Gading Hitam; walaupun hakikatnya baginda tidak bermaksud demikian.

Setelah Puteri Bongsu meningkat dewasa, baginda mulai risau sekiranya Puteri Bongsu benar-benar diambil oleh Gajah Putih Gading Hitam. Kerisauan baginda menjadi kenyataan. Gajah Putih Gading Hitam telah menculik Puteri Bongsu ketika bermain di taman bunga bersama inang-inang.

Baginda telah menitahkan para pengasuhnya mencari sesiapa sahaja yang dapat membunuh Gajah Putih Gading Hitam dan mengembalikan semula Puteri Bongsu kepada baginda. Baginda berjanji akan mengahwinkan Puteri Bongsu dengan sesiapa sahaja yang berjaya menjadi penyelamat.

Tiada siapa yang berani dan berjaya menyelamatkan Puteri Bongsu, maka muncullah Budak Cabuk yang menawarkan diri untuk bertarung dengan Gajah Putih Gading Hitam.

Satu pertarungan telah berlaku namun, pertarungan itu bukanlah satu pertarungan yang sebenar kerana antara Gajah Putih Gading Hitam dan Budak cabuk mempunyai satu pertalian. Gajah Putih Gading Hitam juga bukanlah gajah yang sebenar-benarnya.

Berpuas hati

Asrul yang ditemui melahirkan kepuasan kerana berjaya mengarahkan naskhah ini buat kali pertama.

“Sebelum ini saya pernah arahkan Mak Yong Dewa Muda, Mak Yong Kesaktian Anak Raja Gondang dan lain-lain. Inilah kali pertama PESIBAN diberi kepercayaan dalam Panggung Seni Tradisional.

“Sebenarnya tanggungjawab ini agak berat kerana saya sendiri adalah pengerusi PESIBAN. Bahkan saya turut berlakon sebagai Peran Tua di mana Peran berperanan sebagai pembawa cerita.

“Bagaimanapun saya beruntung kerana dapat bantuan daripada pelakon lain sekali gus berjaya memberikan satu persembahan yang menghiburkan penonton,” katanya.

Menurutnya, Mak Yong Gading Bertimang secara dasarnya sebuah naskhah yang agak pelik daripada logik cerita dalam koleksi 12 cerita Mak Yong.

“Jadi saya buat perubahan agar tak ganggu jalan cerita dan penonton dapat menerimanya. Kalau diberi peluang lagi selepas ini, saya mengimpikan untuk mengambil naskhah Shakespeare untuk dipentaskan dalam bentuk makyung. Perkara itu tak salah,” katanya.

Dalam pada itu, Isey Titan  berkata, biarpun sibuk, dia tetap mencuri masa berlakon Mak Yong kerana sudah lama tidak terbabit dengan pementasan begini.

“Sebelum ini saya banyak terbabit dengan program komedi. Apabila diajak oleh Asrul, saya bersetuju untuk berlakon kerana rindu dengan mak yung. Karakter sebagai Peran Muda bukanlah masalah kerana saya boleh berdialog secara spontan asalkan tahu naskah.

“Ilmu komedi yang diperolehi di bawah Sabri Yunus menerusi Bintang Mencari Bintang turut dibawa masuk dalam Mak Yong Gading Bertimang dan ternyata disukai penonton,” katanya.

Bagi Ismadian pula, biarpun bukan anak kelahiran Kelantan, namun minat kepada mak yung membuatkan dia mendekati persembahan ini.

“Saya mendalami mak yung dengan mengambil Diploma Tari di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Saya pernah berlakon dalam Mak Yong Batak Raja Gondang dan Mak Yong Raja Besar Ho Gading.

“Memang bangga rasanya apabila dijemput terbabit dalam Mak Yong Gading Bertimang dan dialu-alukan juga oleh pelakon lain. Apa pun saya masih belum puas dengan apa yang ada dan berhasrat mendalami lagi mak yung,” katanya.

 

Author: 
Nur Khalilah Gusti Hassan
Akhbar: 
Sinar Harian
Publish date: 
Tuesday, June 16, 2015