Pembangunan seni Menora

 

KUMPULAN Menora Sri Timur yang mempersembahkan lakonan Dua Saudara di Auditorium JKKN, baru-baru ini.

JIKA ditanya berkenaan teater tradisional Menora, ramai yang akan menggeleng kepala. Jawapan yang pasti adalah tidak tahu.

Perkembangan dramatari asal Selatan Thailand itu nampaknya tidak dipergiatkan secara menyeluruh. Kalau ada pun, ia dipentaskan sesekali sahaja tidak sama seperti teater moden yang sering mendapat perhatian.

Pelbagai usaha telah dijalankan untuk mengembangkan Menora yang kuat dengan elemen persembahan seperti lakonan, tarian dan nyanyian. Menora yang juga dikenali Nora atau Lakon Chatri dalam bahasa Thai mempunyai ciri-ciri asas dalam persembahan iaitu doa yang panjang. Doa diiringi dengan pergerakan kaki, lengan dan jari mengikut irama secara perlahan. Perkara itu yang perlu diketahui.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) khususnya mempunyai usaha dalam memperluaskan pemahaman masyarakat kini kepada Menora yang sememangnya kaya dengan khazanah seni budaya.

Menggerakkan kegiatan teater seperti itu, JKKN menjadikan ia sebagai usaha konsisten yang perlu dijalankan dalam menguatkan ungkapan budaya tradisi dalam masyarakat Malaysia.

Bukan sahaja menora, JKKN juga berusaha kuat dalam mempromosikan teater tradisional lain seperti Makyong, Mek Mulung dan Jikey. Ini satu perkembangan yang baik kepada teater.

Baru-baru ini, JKKN telah memberi peluang kepada Kumpulan Menora Sri Timur dari Kelantan untuk mempersembahkan Menora di Auditorium JKKN, Kuala Lumpur.

Memilih Menora berjudul Dua Saudara sebagai tatapan, kumpulan ini nyata mempersembahkannya dalam gaya Malaysia dan digabungkan dengan beberapa unsur-unsur Makyong, Jikey dan Mek Mulung.

Biarpun pada asalnya Menora dilakukan untuk pelbagai tujuan, bukan untuk keagamaan sahaja, namun kadangkala dilakukan untuk tujuan ritual, dan perubatan, kini ia menjadi satu persembahan hiburan.

Suntikan watak lucu atau adegan lucu oleh pelakonnya yang dinamakan Peran membuatkan Menora Dua Saudara tidak jemu untuk ditonton.

Dua Saudara berkisar tentang Raja Besar dan Permaisurinya yang memerintah Kota Singa Maling mangkat menyebabkan takhta diwarisi dua orang puteranya, Cahaya Kaca sebagai Raja dan adindanya Cahaya Emas sebagai Raja Muda.

Seperti biasa isu percintaan menjadi konflik utama dalam Menora ini. Cahaya Kaca yang menjalinkan hubungan cinta dengan Puteri Raja yang bernama Puteri Wan Bunga mendapat tentangan daripada Raja Berma (ayahanda puteri). Tentangan itu mencetuskan pergaduhan dan Cahaya Kaca berjaya dikalahkan.

Tidak mahu dirinya terus ditindas, Cahaya Kacatelah meminta pertolongan adindanya (Cahaya Emas) yang mendapat ilmu di pertapaan Maharesi. Kehebatan Cahaya Emas tiada tandingannya dan dia berjaya memperoleh Puteri Wan Bunga daripada tangan ayahandanya.

Kisah itu tidak hanya terhenti di situ kerana Cahaya Emas telah dibunuh oleh kekandanya sendiri akibat satu fitnah yang ditimbulkan.

Cerita itu menjadikan menora ini mendapat perhatian daripada penonton yang hadir. Sememangnya, teater tradisional seperti ini mempunyai potensi untuk dikembangkan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20140908/hi_05/Pembangunan-seni-Menora#ixzz3Cnn5VQm6 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Author: 
Garret Dawwum
Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Monday, September 8, 2014