Pakyung makin pupus

Tidak ramai yang menyedari seni makyung tidak hanya dipersembahkan oleh penari wanita, sebaliknya ia turut menampilkan watak lelaki atau lebih dikenali sebagai pakyung.

Bagaimanapun, seni makyung boleh dianggap kurang diberikan perhatian dalam masyarakat sehingga tidak mustahil ia boleh 'pupus' apatah lagi sekiranya pelapis muda tidak dibentuk untuk menggantikan aktivis sedia ada khususnya pakyung.

Kerisauan itu diutarakan oleh penggiat seni makyung atau lebih dikenali sebagai pakyung, iaitu Rosnan Rahman berkongsi kesukaran mencari pelapis pelakon lelaki yang boleh menggalas peranan yang memerlukan bakat nyanyian, tarian, lakonan dan jiwa seni yang kuat itu.

"Saya akui makyung lebih sinonim dengan wanita, apatah lagi pakyung memerlukan kemahiran yang tinggi sehingga dapat menguasai pentas, sekali gus mempunyai persediaan mental dan fizikal.


PEMBAHARUAN dalam seni Makyung terutama alat bantuan pentas dan tarian membantu menarik minat generasi muda. - Foto Mohd Azren Jamaluddin

"Saya sendiri pernah putus asa hingga hampir tinggalkan makyung kerana usaha membawa makyung kurang mendapat sambutan. Saya harap pelapis muda lebih berjiwa kental untuk memartabatkan seni warisan tradisional ini," katanya kepada BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Rosnan yang juga yang juga Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Kebudaya dan Kesenian Negara (JKKN) turut mengakui tidak ramai anak muda yang berminat mempelajari seni makyung lebih mendalam sedangkan ia seni warisan yang patut dipelihara.

"Saya amat sedih apabila memikirkan, siapalah yang akan mengambil ilmu seni makyung seperti yang saya pernah saya lakukan dengan mempelajarinya daripada guru seperti Jumilah Tahir, Che Mat Jusoh dan Fatimah Abdullah.

"Saya sedar, agak ramai pelajar yang cuba mendalami ilmu seni pementasan tradisional ini di institusi pengajian tinggi (IPT), namun mereka berhenti separuh jalan apabila berputus asa setelah gagal menguasai lakonan makyung dengan sempurna.

"Faham-faham sajalah makyung memiliki gaya lakonannya sendiri. Saya sendiri mendalaminya selama lapan tahun bersama Fatimah, sekali gus menunjukkannya ilmu yang mengambil masa untuk dikuasai.


SENI tari Makyung yang unik antara cabaran perlu dilalui penari dalam menjayakan persembahan seni Melayu itu. - Foto Mohd Azren Jamaluddin

"Begitu juga aspek imbuhan dan pendapatan yang membuatkan mereka tidak berminat untuk terus menguasai seni ini sedangkan apa yang paling penting ialah keikhlasan dan bukannya semata-mata untuk mendapatkan ijazah," katanya.

Menurut graduan Sarjana Muda Sains Seni Bina daripada Universiti Sains Malaysia (USM) ini, beliau aktif mempersembahkan makyung atas dasar tanggungjawab yang diletakkan di bahu.

"Saya memastikan paling tidak lima atau enam persembahan diadakan di seluruh negara setiap setahun bagi menghidupkan seni warisan bangsa kita," katanya.

Anak kelahiran Pokok Sena itu mengakui terkilan apabila ada segelintir masyarakat yang bukan saja tidak menghargai seni dan budaya yang menjadi identiti bangsa Melayu bahkan menganggapnya sebagai kolot dan membosankan.

"Selama lebih 15 tahun terbabit secara serius dalam makyung, saya dapat lihat perkembangan sihat dalam penerimaan masyarakat terhadap seni tari Melayu ini walaupun ia belum menyeluruh.

"Kebanyakan kelompok yang skeptikal ialah golongan elit yang langsung tidak pernah menonton makyung, sebaliknya membuat andaian sendiri dan menimbulkan pelbagai persepsi negatif," katanya yang turut mengasaskan Kumpulan Makyung Istana Budaya (IB).

Mengenai pembabitan awal dalam seni makyung, Rosnan mengakui tidak pernah mempelajarinya secara formal, tetapi kesungguhan dan minat yang mendalam menjadi faktor utama kejayaannya walaupun bukan anak jati Kelantan yang menjadi negeri asal seni itu di negara ini.


PELUANG yang diberikan Istana Budaya untuk membawa seni Makyung ke pentas gah itu penting dalam memastabatkan seni berasal dari Kelantan itu. - Foto Mohd Azren Jamaluddin

"Seni makyung tidak mudah dan rumit kerana penggiat seni perlu menyanyi, menari dan berlakon pada waktu yang sama.

"Awalnya, saya tidak fasih dialek Kelantan, tetapi saya banyak berlatih, selain berkomunikasi dengan guru makyung dan rakan yang berasal dari Kelantan untuk mendapatkan sebutan dan nahu yang tepat," katanya yang pernah memenangi Aktor Terbaik pada Anugerah Seni Boh Cameronian 2012 menerusi teater Rebab Berbisik.

Fasih dialek Kelantan, kata Rosnan, menjadi keutamaan penggiat seni makyung kerana jika berlaku kesilapan bahasa di pentas, ia bukan saja mencacatkan persembahan, malah mengganggu penghayatan dan fokus pelakon itu sendiri.

Peranan memartabatkan seni budaya Melayu seperti Makyung sepatutnya bukan hanya terletak di tangan penggiat seni saja, bahkan sepatutnya digalas bersama institusi seni dan budaya, badan bertanggungjawab dan penerbit buku yang boleh memainkan peranan sebaiknya.

Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) antara organisasi yang banyak membantu menaikkan semula seni makyung antaranya menerusi penerbitan buku Makyung karya Rahimidin Zahari dan Sutung Umar RS.

Buku yang diterbitkan dalam versi bahasa Melayu dan Inggeris itu bertepatan dengan pengiktirafan makyung sebagai Karya Agung Budaya Lisan dan Warisan Kemanusiaan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2005.


ROSNAN Rahman (kiri) ketika mengetuai persembahan kesaktian Anak Raja Gondang Makyung di Istana Budaya. - Foto Mohd Azren Jamaluddin

Selain itu, ITBM juga membawa buku makyung di peringkat antarabangsa pada 2010, apabila mengadakan Majlis Memperkenalkan Buku Makyung di Pesta Buku Frankfurt, Jerman pada 9 Oktober 2010.

Pada tahun lalu, ITBM sekali lagi membawa persembahan makyung yang digabungkan dengan wayang kulit Kelantan pada Pesta Buku Antarabangsa Tokyo (TIBF) 2014 di Tokyo, Jepun dan berjaya yang menarik pengunjung antarabangsa ke Pavillion Malaysia.

Setiap kali persembahan itu diadakan, pentas utama Pavillion Malaysia boleh dianggap 'pecah panggung' sehingga ada penonton yang berdiri untuk menyaksikannya.

Justeru, peluang mengadakan persembahan pada acara buku terbesar di Asia itu memberi kesempatan kepada penggiat seni untuk berkongsi warna-warni seni tradisional Melayu.

Rosnan berkata, kebanyakan rakyat Jepun maklum mengenai makyung yang mendapat pengiktirafan sebagai Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).


TEATER Kesaktian Anak Raja Godang Makyung antara pementasan kebudayaan yang meraih sambutan memberangsangkan peminat seni Melayu. - Foto Mohd Azren Jamaluddin

"Makyung tidak terlalu asing kepada masyarakat Jepun, malah ada antara pensyarah dan pengkaji seni tradisional Melayu turut menyaksikan persembahan kami.

"Sebagai bangsa yang mempunyai apresiasi tinggi kepada kesenian tradisional, warga Jepun yang ditemui gembira apabila berpeluang melihat persembahan makyung selepas hanya menyaksikannya melalui internet," katanya.

Rosnan yang berganding bahu dengan Norsiah Yatim daripada Istana Budaya, menguasai pentas selama 15 minit melalui persembahan tarian pembukaan menghadap rebab, tarian sedayung makyung dan tarian ragam.

"Kebiasaannya, persembahan penuh makyung selama dua jam tetapi waktu singkat pada TIBF 2014 dimanfaatkan sepenuhnya dengan tarian, lakonan dan nyanyian.

"Kita mahu masyarakat Jepun tahu Malaysia turut mempunyai seni tradisional bernilai seperti Kabuki yang mereka banggakan," katanya.

Tambah Roslan, kumpulannya turut dijemput mengadakan persembahan di Universiti Sophia, Tokyo sebaik selesai persembahan pada TIBF, membuktikan seni warisan Melayu 'dipandang' masyarakat Negara Matahari Terbit itu.

 

 

Author: 
Latifah Ariffin
Akhbar: 
Berita Harian
Publish date: 
Wednesday, March 18, 2015