Olahan semula Bangsawan Nila Kesuma

Siri Semarak Bangsawan 2015 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Kementerian Pelancongan akan kembali memeriahkan pentas teater selepas berehat sebulan sempena Ramadan.

Kali ini, giliran Kumpulan Bangsawan Seri Mahkota Alam dari Johor pula akan tampil dengan naskhah berjudul Bangsawan Nila Kesuma yang dipentaskan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jalan Raja Laut, bermula 14 Ogos (malam ini) sehingga 16 Ogos, jam 8.30 malam.q

Karya nukilan Hamid Ahmad ini diarahkan oleh Zulkifle Abdul Majid dengan menampilkan pelakon Nazri Halim,Norhasima Abd Kadir dan Wan Maimunah Aziz.

Karier Zulkifle bermula dengan teater Sangkar Madu dan Imbas (bersama karyawan Universiti Sains Malaysia) pada 1989. Dia kemudian terbabit dengan banyak pementasan teater dan bangsawan hingga ke peringkat kebangsaan.

Pada April lalu Zulkifle terbabit dengan pementasan Wira Samudera anjuran Yayasan Warisan Johor (YWJ) yang menerima sambutan hangat penonton.

Zulkifle yang kini bergelar Jurulatih Seni Budaya Negara (tahap 4) berkata, dia menyahut cabaran mempersembahkan karya terbaik yang memuaskan hati penonton.

“Saya berdepan kesukaran mengolah semula naratif Bangsawan Nila Kesuma apabila perlu memendekkan lapan babak kepada enam babak.

“Memadatkan cerita bukan bermakna mengurangkan kandungan asal sebaliknya mengelakkan babak yang berulang-ulang.

“Selain itu, saya sukar mendapatkan pelakon sesuai kerana mereka sudah ada komitmen lain.

“Seperkara lagi, genre bangsawan terikat dengan lenggok bahasa tersendiri. Ramai gagal menguasainya dengan baik dan mengambil keputusan mengundur diri,” katanya.

Menurutnya lagi, mereka turut berdepan masalah yang biasa dihadapi kumpulan bangsawan lain iaitu kekangan bajet untuk aktif mempertahankan seni warisan negara itu.

“Persembahan bangsawan memerlukan belanja besar terutama set, pencahayaan, audio, busana, penginapan dan pengangkutan kerana kami tinggal di Johor,” katanya.

Meskipun susah dan menempuh pelbagai dugaan, Zulkifle gembira kerana terpilih menjayakan persembahan dalam Siri Semarak Bangsawan 2015.

“Syukur impian kami jadi kenyataan. Saya percaya barisan pelakon pementasan ini dapat memberikan persembahan terbaik dan memuaskan hati penonton.

“Saya juga berharap segala perancangan berjalan lancar dan semoga ia dapat memberi pengajaran serta pengalaman yang baik kepada penonton,” katanya.

Bangsawan Nila Kesuma mengisahkan pengorbanan, kasih sayang, perjuangan dan kekuatan ibu membesarkan anaknya.

Permaisuri Gemala Ayu mengarahkan Nujum diRaja Nagalerang memfitnah Nila Kesuma. Putera cilik itu dihukum dihanyutkan ke sungai.

Pelbagai rentetan peristiwa dilalui Nila Kesuma dalam usaha menjadikannya putera yang berilmu, baik budi bahasa dan tangkas bermain senjata. Kebijaksanaannya berjaya menumpaskan raksasa Mambang Galang Bumi dan menghapuskan ilmu hitam.

Peristiwa itu mempertemukan Permaisuri Seri Maya dan pengikutnya dengan raja dan permaisuri kerajaan Alam Mercu Ledang.

Dengan persetujuan Raja Mercu Ledang, Permaisuri Seri Maya dan rombongannya berjaya pulang ke Seri Dahayuna.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 11:16 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/70352#sthash.YbuujLNx.dpuf

Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Friday, August 14, 2015