Nilai komersial teater tradisional

SEBELUM kemunculan televisyen, medium penghibur masyarakat negara ini ketika itu adalah pementasan langsung yang dipentaskan di hadapan mereka sama ada di kawasan padang atau rumah penghulu.

 

Masyarakat pelbagai generasi umur ketika itu dengan perasaan gembira, beramai-ramai menuju ke kawasan pementasan untuk berhibur menonton cerita baru.

 

Tidak kira sama ada ia pementasan berbentuk bangsawan, mak yong, opera Cina, wayang kulit, hiburan sedemikian menjadi tarikan utama dan sering kali dipentaskan kepada masyarakat.

 

Namun kini, tidak lagi. Kemunculan televisyen, Internet, peranti hebat seperti iPad, tayangan filem di panggung wayang sedikit sebanyak menjadi antara punca kepada pengurangan pementasan sedemikian atau lebih dikenali sebagai 'teater tradisional'.

 

Biarpun industri teater hari ini menunjukkan perkembangan membanggakan, namun realitinya ia lebih terarah kepada pementasan teater moden dan bukannya tradisional.

 

Hakikat yang harus diterima, terdapat segelintir penganjur teater merasakan teater tradisional tiada nilai komersial serta tiada siapa ingin menonton.

 

Ini yang diluahkan oleh Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Profesor Dr. Mohamad Hatta Azad Khan.

 

Namun, benarkah persepsi sedemikian?

 

"Ramai yang tertanya-tanya mengenai teater tradisional, tetapi persembahannya tidak banyak," kata Mohamad Hatta kepada Bernama baru-baru ini.

 

Apa yang menyedihkan, ujar beliau teater tradisional hanya dipentaskan mengikut 'musim' yakni berbeza dengan teater moden yang sering kali menjadi pilihan untuk dipersembahkan kepada masyarakat.

 

Ia ekoran, terdapat anggapan teater tradisional seperti Mek Mulung tidak akan membawa pulangan modal atau keuntungan kepada mereka, sekali gus menjurus kepada pengurangan pementasan sedemikian.

 

"Sebenarnya ramai yang berminat untuk menonton teater tradisional. Ini adalah berdasarkan daripada pengalaman Aswara mementaskan teater sedemikian.

"Sambutan diterima sangat menggalakkan. Malah, mereka (penonton) menyatakan minat untuk menonton pementasan seperti bangsawan, mak yong namun tidak tahu di mana lokasinya.

 

"Justeru, adalah sewajarnya pementasan teater tradisional ini diperbanyakkan lagi," katanya sambil menambah agensi seperti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Aswara antara yang giat merancakkan kembali teater tradisional.

 

Dr. Mohamad Hatta adalah tidak asing dalam industri hiburan tempatan.

 

Beliau adalah penulis dan pengarah Syy! yang kemudian menjadi sitkom televisyen yang popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu.


Beliau juga memenangi Anugerah Lakonlayar Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM9) bagi filem cereka Mat Som (1992).

 

Filem beliau yang lain ialah Wayang, Kembar Siang dan Senario Asam Garam.


Turut berpandangan serupa, pensyarah teater kursus bangsawan di Aswara yang juga Seniman Negara, Abdul Rahman Abu Bakar berkongsi pengalamannya ketika mementaskan teater bangsawan arahannya bertajuk Laksamana Cheng Ho yang dipentaskan di Panggung Bandaraya, tahun lepas.

"Tempat duduk semuanya penuh. Malah, terpaksa mengambil kerusi lain untuk dibawa masuk. Anggapan tidak gemar untuk mementaskan teater tradisional kerana merasakan ia tidak menguntungkan, adalah silap.

 

"Sebenarnya, mereka (penganjur) ini tidak ada pendedahan (potensi teater tradisional) dan terus buat spekulasi begitu," katanya.

 

Pandangan Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Rahman B. serta Mohamad Hatta dalam membicarakan potensi teater tradisional, bukanlah bualan kosong.

 

Hasil pengalaman dialami dari konteks persekitaran mereka, terbukti apabila statistik yang diperolehi oleh JKKN jelas memperlihatkan percambahan minat dunia teater tradisional.

 

Dipetik dalam satu laporan berita, usaha JKKN bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memartabatkan bangsawan menerusi acara Semarak Bangsawan yang dimulakan sejak tahun 2006, menunjukkan perkembangan membanggakan.

 

Menurut Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli, tahun 2010 mencatatkan bilangan penonton seramai 10,416 berbanding tahun 2006 (2,694) iaitu peningkatan sebanyak 386.4 peratus.

 

Ini sekali gus menafikan dakwaan bahawa teater tradisional tidak berpotensi untuk diangkat sebagai tontonan komersial.

 

Menuju kepupusan, itu yang dibangkitkan oleh Rahman B. ketika membicarakan nasib teater tradisional. Sedih dengan senario itu, katanya tidak mustahil generasi akan datang tidak tahu bagaimana bentuk teater bangsawan, mek mulung dan mak yong.

 

Apatah lagi, sekadar membaca dan melihat lampiran gambar akan kebudayaan yang pernah meniti usia popularitinya sebelum ini, belum mampu dapat merancakkan kembali teater tradisional.

 

Tambahan pula, penggiat seni tradisional sudah semakin meniti usia senja dan sekiranya tiada usaha pencambahan ke arah kuantiti penggiatnya, tidak mustahil teater tradisional akan pupus suatu hari nanti.

 

Menyedari faktor itu, Aswara mengambil inisiatif dengan mementaskan tiga buah produksi teater tradisional yang bermula pada 21 Mac sehingga 2 Jun di kampusnya di Jalan Tun Ismail.

 

Ia bermula dengan persembahan wayang kulit dua cerita pada 21 sehingga 23 Mac, Mak Yong Endeng Tejeli (19 hingga 21 April) dan Bangsawan Seri Teri Buana (31 Mei hingga 2 Jun).

 

Dipersembahkan oleh pelajar Aswara yang mendapat sentuhan profesional daripada tiga adiguru tersohor dalam bidang masing-masing iaitu Che Mohd Nasir Yusoff (wayang kulit), Fatimah Abdullah (mak yong) dan Rahman B. (bangsawan) ia dilihat berperanan sebagai serampang dua mata.

 

Selain memberi peluang kepada komuniti yang tercari lokasi menonton teater tradisional ia juga sebagai 'pencetus minat' untuk mengikat lebih ramai generasi muda hari ini mencintai serta mempelajari khazanah negara yang amat berharga itu.

 

Sebagai sebuah institusi yang terkenal dengan pembangunan modal insan dalam bidang seni budaya dan warisan, Aswara sentiasa komited melahirkan lebih ramai seniman yang mahir dan karyawan berwibawa dalam bidangnya di samping memantapkan kesinambungan warisan seni negara.

BERNAMA

Akhbar: 
BERNAMA
Publish date: 
Saturday, May 5, 2012