Najib beri 'sentuhan peribadi' dalam persembahan

 
  • Najib beri 'sentuhan peribadi' dalam persembahanPusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini sibuk dengan aktiviti sentuhan sehingga akhir terutamanya di Dewan Plenary di mana pembukaan Sidang Kemuncak Asean ke-26 akan diadakan . - Foto Bernama
 1 / 1 

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi 'sentuhan peribadi' beliau ketika meninjau persiapan yang dibuat bagi pelbagai acara bersempena Sidang Kemuncak Asean Ke-26 termasuk Majlis Makan Malam Gala, kata Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Datuk Norliza Rofli.
   
Beliau berkata perdana menteri mahu persembahan pada majlis makan malam bagi meraikan para emimpin dan anggota perwakilan dari negara-negara anggota Asean esok, mencerminkan sesuatu yang luar biasa dan hebat serta dapat memberi tenaga dan semangat baharu kepada Asean.
   
"Perdana menteri juga mahu supaya setiap persembahan mempunyai jalan cerita dan berkaitan dengan kedudukan Malaysia sebagai pengerusi Asean tahun ini.
   
"Oleh itu, cabaran yang kami hadapi ialah untuk menghasilkan persembahan muzikal, nyanyian dan tarian bagi menghiasi majlis makan malam kira-kira dua jam itu dan ia mestilah selaras dengan kemajuan Asean," katanya kepada Bernama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
   
Najib, yang akan menjadi hos majlis makan malam itu bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mahukan persembahan yang mampu mengukuhkan lagi hubungan antara 10 negara anggota Asean, katanya.
   
Persembahan majlis makan malam gala itu akan mempamerkan seni pentas terkenal Malaysia, 'Mak Yong', yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) sebagai warisan dunia.
   
"Untuk menghasilkan sesuatu yang luar biasa, kami mengambil keputusan menggabungkannya dengan Opera Cina," kata beliau.
   
Sebanyak 454 warga seni daripada pelbagai etnik di Malaysia dan negara anggota Asean akan menjayakan beraneka persembahan bersempena sidang kemuncak itu, termasuk 50 pemain genderang muda yang mempamerkan kehebatan mereka ketika majlis perasmiannya pada Isnin.
   
Adam Sufrie Roslan, yang akan mempersembahkan tarian tradisional Sarawak bersama 60 penari lain, berkata beliau amat teruja kerana berpeluang mengadakan persembahan di hadapan para pemimpin dan anggota perwakilan dari negara anggota Asean.
   
"Memandangkan Malaysia adalah negara tuan rumah Sidang Kemuncak Asean tahun ini, kami berasa sungguh bangga dan teruja. Kami telah berlatih untuk mengadakan  persembahan pada Majlis Makan Malam Gala sejak Mac," kata penari JKKN itu. –Bernama

 

Akhbar: 
Sinar Harian
Publish date: 
Saturday, April 25, 2015