Musim timur kembali lagi

KANGAR - Ketika mendengar bunyian yang bergema dari langit, ia membawa khabar bahawa bermulanya musim timur di Perlis.

Suara itu bukan datang dari dentuman guruh atau nyanyian unggas sebaliknya daripada dengung pelbagai jenis wau tradisional yang melayang di udara.

Ketika musim timur yang bermula awal Februari sehingga Mac, sebahagian besar daripada lebih 26,500 hektar kawasan tanaman padi di Perlis telah dituai dan sawah mula kering.   

Bagi para petani khususnya pesawah, musim timur adalah masa untuk mereka berehat sebelum memulakan musim baru persawahan pada musim barat yang membawa hujan.   

Kawasan sawah yang lebih dikenali sebagai "bendang" oleh masyarakat tempatan akan berubah wajah menjadi tempat bermain wau, padang bola sepak bendang, tapak sukaneka dan persembahan kebudayaan selain menjadi tapak majlis kenduri. 

Suatu ketika dahulu, musim timur diwarnai dengan pelbagai kegiatan penduduk termasuk bermain wau tradisional yang beraneka jenis dan corak.

Antaranya wau helang, wau bulan, wau jala budi, wau merak dan wau kucing yang mengeluarkan pelbagai bunyi daripada dengung yang dipasang di busur wau.

Selain menjadi dengung yang bunyinya terhasil mengikut kekuatan angin di udara, busur juga berperanan sebagai pengimbang wau.

Setiausaha Persatuan Wau dan Layang-layang (Pelayang) Perlis, Ahmad Jamaluddin Doyah berkata, kegiatan bermain wau pada musim timur mengembalikan nostalgia silam. 

Katanya, bermain wau bukan sekadar untuk santai tetapi juga turut menyuburkan hubungan silatulrahim sesama mereka.

"Kami mempunyai ahli-ahli persatuan yang pakar dalam bidang pembuatan wau tradisional selain mempunyai ahli yang mahir mengendalikan wau moden," katanya kepada Bernama.   

Kehadiran musim timur bagaikan tidak lengkap tanpa permainan wau meskipun ada yang berpendapat ia tidak bermanfaat dan hanya membuang masa.     

Walaupun muncul pelbagai jenis layang-layang atau wau moden yang beraneka corak dan bentuk namun wau tradisional masih lagi mendominasi ruang udara.

Para pemain wau tradisional pastinya berbangga kerana wau mereka masih dianggap gagah di udara malah ada pemain yang "tambang" atau tidak menurunkan wau mereka siang dan malam selama beberapa hari.

Sementara itu, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia bersama kerajaan negeri Perlis dan Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Perlis memanfaatkan  musim timur dengan mengadakan Pesta Angin Timur 2015 selama tiga hari bermula 6 Mac lepas.

Program yang dikelolakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis itu berlangsung di kampung Sungai Berembang yang terletak di pinggir laut. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Perlis, Abdul Jamil Saad memberitahu Bernama, pesta itu bukan sekadar menghidupkan nostalgia malahan menggamit kehadiran pelancong.

Selain pertunjukan dan pertandingan wau yang pelbagai jenis, pesta yang berlangsung di kawasan sawah yang kering itu turut diisi dengan pelbagai acara menarik. 

Antaranya pertandingan seni suara burung, menggagau ikan, sukaneka dan persembahan kebudayaan yang mengimbau nostalgia. 

Abdul Jamil, yang juga Pengerusi Jawatankuasa pengelola program itu berkata, pesta itu dilaksanakan secara kreatif supaya ia terus menjadi acara yang dinantikan oleh para pelancong saban tahun.

Secara tidak langsung, pesta itu turut memperkenalkan kampung Sungai Berembang sebagai pengeluar utama belacan di Perlis.   

Sebenarnya, banyak kegiatan yang pernah mewarnai musim timur telah lenyap ditelan gelombang modenisasi dan ada yang akan disuburkan semula.

Antaranya ialah kegiatan mengemping atau menumbuk emping terutama pada waktu malam bulan mengambang.

Suatu ketika dahulu, irama alu bertingkah memecah keheningan malam ketika kegiatan menumbuk emping daripada padi pulut berlangsung di kampung-kampung.

Kegiatan itu membabitkan antara dua dan enam penumbuk emping yang berkongsi lesung yang sama dan setiap hentakan daripada alu yang berbeda itu menghasilkan irama tersendiri.

Pada masa yang sama, ada penduduk yang membuat serunai batang padi dan meniupnya bagi menghasilkan bunyi yang indah.  

Batang padi yang dijadikan serunai biasanya dibalut dengan daun kelapa supaya ia lebih mantap dan mudah dipegang.  

Apa pun para penduduk Perlis tetap memastikan musim timur tidak berlalu begitu sahaja dan ada dalam kalangan mereka menganjurkan pelbagai program termasuk sukaneka di  peringkat kampung. 

Antara yang terbaru ialah penganjuran program Air Tangan Orang Kampung (Atok) di Kayang pada Februari lepas yang diisi dengan pelbagai kegiatan.  

Ada juga penduduk yang memilih musim timur untuk mengadakan majlis kenduri kahwin atau majlis kesyukuran kerana kawasan sawah yang lapang dan kering bukan sahaja boleh  dijadikan tempat parkir kenderaan malahan sebagai tapak khemah jamuan.

Bagi yang berminat untuk bermain lumpur, boleh sahaja mencuba kegiatan menggagau ikan di sungai-sungai yang mulai kering airnya.

Di situ anda boleh menguji kebolehan menangkap ikan haruan yang bersembunyi dalam lumpur menggunakan tangan.

Biasanya para penggagau ikan tidak pulang dengan tangan kosong tapi bagi yang baru mencuba, anda mungkin hanya akan pulang dengan lumpur yang memenuhi badan tanpa  sebarang hasil.

Apa pun musim timur tetap menjanjikan kemeriahan dan mengusik nostalgia. - Bernama

Akhbar: 
Sinar Harian
Publish date: 
Friday, March 20, 2015