Muzik

Dikir Barat merupakan satu persembahan negeri Kelantan yang disampaikan secara berkumpulan. Setiap kumpulan biasanya diketuai oleh seorang Tukang Karut dan Tok Juara. Tukang Karut dan Tok Juara akan mendahului nyanyian sambil berbalas-balas pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.

Alat muzik yang biasa digunakan ialah rebana ibu dan ana k dan tetawak.

Last Updated Apr 8, 2013 ]

Boria adalah sejenis teater yang amat popular di negeri utara Malaysia, terutama Pulau Pinang. Secara umumnya asal permainan boria dikaitkan dengan peristiwa Karbala, iaitu peristiwa pembunuhan Saidina Hussein r.a oleh Muawiyah bin Abi Suffian.Persembahan boria mempunyai dua segmen iaitu lakonan (lawak jenaka) dan nyanyian. Peralatan muzik yang digunakan dalam persembahan boria tidaklah begitu khusus. Aspek yang penting ialah keupayaan para pemuzik untuk membawa irama yang dapat mengiringi nyanyian tukang karang.

Last Updated Dec 26, 2012 ]

Dondang Sayang merupakan nyanyian perantaraan, di mana persembahannya diiringi oleh permainan alat-alat muzik Melayu asli dan moden. Dondang Sayang dipercayai muncul di Melaka pada zaman Kesultanan Melayu Melaka pada kurun ke 15 Masihi. Perkataan nyanyi dalam lagu Dondang Sayang adalah bermaksud pantun.

Last Updated Dec 26, 2012 ]

Dikir Rebana memang ada sejak dahulu dan tiada rekaan baru setakat ini. Rebana diperbuat daripada kulit kambing serta kayu tualang dan biasanya bersaiz 24 inci atau 2 kaki. Pemain akan duduk bersila dan rebana diletakkan di atas telapak kaki. Pada masa dahulu, Dikir Rebana dimainkan ketika sultan hendak tidur atau ketika hendak mengerjakan solat. Kini muzik ini dimainkan dalam majlis perkahwinan.

Last Updated Dec 26, 2012 ]

Gendang Pahang merupakan seni tradisi yang mendapat pengaruh Islam yang mendalam. Muzik ini dipercayai dibawa oleh Dato’ Purba Jelai dan penyebarannya dilakukan oleh tiga generasi. Gendang Pahang mempunyai lagunya yang tersendiri dikenali sebagai Bujang Hilir. Muzik ini dimulakan dengan rentak pembukaan dan di akhiri dengan rentak membunuh atau rentak mati di samping rentak-rentak yang lain.

Last Updated Dec 26, 2012 ]

Ghazal di peringkat permulaannya dikenali juga sebagai "gamat" yang bermaksud riuh-rendah. Pada masa kini ghazal Melayu lebih dikenali sebagai ghazal Johor. Irama ghazal berkembang pada asalnya di istana-istana Riau-Lingga. Antara alat muzik yang digunakan adalah seperti sebuah peti harmonika, satu set tabla, gambus, violin, gitar, markas dan tamborin.

Pemuzik ghazal Johor biasanya seramai 7 hingga 9 orang pemuzik lelaki yang berpakaian baju melayu lengkap bersongkok dan samping.

Last Updated Dec 26, 2012 ]

Gamelan diperkenalkan ke Pahang ketika pemerintahan Sultan Ahmad Muadzam Shah. Tengku Ampuan iaitu Wan Fatimah telah meningkatkan muzik gamelan dan diikui oleh isteri kedua Sultan iaitu Che Bedah. Puteri mereka iaitu Tengku Meriam telah berkahwin dengan Sultan Sulaiman dan telah membawa gamelan ke Terengganu.

Last Updated Dec 26, 2012 ]

Muzik kaum Semelai diwarisi daripada generasi terdahulu tetapi diubah sedikit muzik dan lagunya mengikut kesesuaian zaman. Terdapat dua instrumen bagi muzik ini iaitu rebana dan gong (gong jantan dan gong betina). Muzik ini dimainkan di balai ketika kenduri-kendara, majlis perkahwinan, berkhatan dan keramaian untuk tujuan berhibur. Muzik akan dimainkan diiringi lagu-lagu yang dinyanyikan dalam bahasa Semelai.

Terdapat juga tarian tetapi dilakukan dengan bersyarat dan ada peraturan yang tertentu. Muzik kaum ini juga digunakan untuk tujuan perubatan.

Last Updated Dec 26, 2012 ]