MPB ungguli Anugerah Media JKKN

MPB ungguli Anugerah Media JKKN

Mohammad Bakhtiar dan Norliza menyerahkan anugerah kepada wartawan Harian Metro, Ridzuan - FOTO Aziah Azmee

KUMPULAN Media Prima Berhad mendominasi Anugerah Media Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara 2018 yang berlangsung di Restoran TheLove@Matic, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC), Jalan Ampang, hari ini.

Wartawan Unit Hiburan Harian Metro (RAP), Ridzuan Abdul Rahman menerima Anugerah Media Cetak & Digital 2018 kategori Berita Online Terbaik menerusi artikel Mat Derih Kola Perlih sempena Festival Teater Malaysia 2018.

Manakala wartawan sambilan HM Perlis, Dziyaul Afnan Abdul Rahman menerima Anugerah Artikel Terbaik menerusi artikel Belaian Angin Timur.

TV3 pula diberikan Anugerah Khas Kategori TV menerusi program bual bicara Borak Kopitiam. Pemenang setiap kategori menerima sijil penghargaan dan plak yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Muhammad Bakhtiar Wan Chik serta Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Norliza Rofli.

Sebanyak 12 kategori dipertandingkan dalam Anugerah Media JKKN merangkumi kategori media cetak, digital, tv, radio, blogger dan online. Ia kali kedua diadakan selepas kali pertama diperkenalkan pada 2010.

Muhammad Bakhtiar dan Norliza berkata, anugerah ini diadakan sebagai menghargai sokongan tidak berbelah bahagi media menaikkan nama JKKN dan program anjurannya.

Muhammad Bakhtiar berkata, tanpa sokongan dan kerjasama media, usaha JKKN untuk mengembangkan serta memartabatkan seni budaya tempatan kepada masyarakat setempat serta orang luar sukar dilakukan.

“Kami mengakui peranan media sangat penting buat JKKN menyampaikan agenda mereka kepada masyarakat.

“Selain berjaya memperkenalkan elemen seni budaya, ia juga berupaya menarik pelancong luar yang ingin menyaksikan keistimewaan dan keunikan budaya masyarakat negara kita,” katanya.

Norliza pula berkata, JKKN sentiasa bekerjasama dengan pihak media dan menyifatkan program sebegini wajar diadakan bagi menghargai jasa mereka.

“Ia satu bentuk penghargaan JKKN kepada mereka kerana agak sukar untuk kami bergerak tanpa sokongan media.

“Sebagai pemegang amanah negara, JKKN akan terus menjalankan agenda memartabatkan seni budaya dengan kerjasama media,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 9:00 PM

Akhbar: 
MyMetro
Publish date: 
Wednesday, February 27, 2019

Add new comment

Plain text

  • No HTML tags allowed.
  • Web page addresses and e-mail addresses turn into links automatically.
  • Lines and paragraphs break automatically.
Image CAPTCHA