Misteri di sebalik mafia

Mengulangi sejarah sebelumnya, Grup Teater Lab (G-Tel) Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi terpilih bagi membawa cabaran dalam Festival Teater Kebangsaan Malaysia 2014 pada 26 Oktober hingga 1 November ini.

Mereka mengambil skrip Deklamasi dan Lakon (DEKON) Vito IL MAFIOSO berkonsep komik dan hitam putih untuk festival berprestij yang berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengarahnya, Tasia Arlina Ismail berkata, pementasan ala mafia itu menceritakan kisah seorang lelaki yang ingin membalas dendam berikutan kematian bapanya dan terjebak ke dalam dunia mafia.

“Misi lelaki ini untuk membalas dendam, namun tiba-tiba berubah apabila mula tamak dan mengkhianat orang sekeliling termasuk menjadikan rakan karib sebagai musuh dalam dirinya.

Foto

PELAKON utama Vito IL MAFIOSO yang membawa watak Vito.



“Penceritaan Vito IL MAFIOSO ini turut mempunyai pelbagai strategi dalam strategi yang membolehkan penonton ‘wajib’ melihat sepenuhnya pementasan ini bagi mengetahui misteri di sebaliknya yang berunsur mafia,” katanya.



Menurutnya, sebelum terpilih ke festival ini, G-Tel sudah membuat persiapan hampir dua tahun dengan memberi pendedahan kepada pelakon menyertai pelbagai pertandingan di peringkat negeri Sabah dan kebangsaan.



“Bagi memberi pendedahan kepada pelakon, kami membahagikan mereka kepada dua kumpulan iaitu amatur dan yang terlatih. Mereka dibawa ke beberapa sesi jelajah di Sarawak selain menyertai pertandingan teater untuk membiasakan dengan suasana sebenar pertandingan.



“Bagaimanapun hanya mereka yang terlatih serta kebanyakannya pelajar serta kakitangan FKSW dibawa ke pementasan Festival Teater Kebangsaan Malaysia 2014,” katanya.



Jelas Tasia, ini satu projek pelajar dan universiti di mana pelajar dan pensyarah tidak lari dari konsep mengajar dan belajar bagi menyertai festival ini.



“Bagi memastikan pementasan berada pada tahap memuaskan, G-Tel membuat latihan hampir setiap hari di mana latihan dijalankan hampir enam jam bermula jam 7 malam,” katanya yang memberitahu mereka dianggotai 20 orang terdiri daripada pelajar dan kakitangan fakulti.



Menurutnya, Vito IL MAFIOSO turut menampilkan penggunaan peralatan multimedia yang mampu memukau imaginasi ramai.



“Saya akan mempertimbangkan pelbagai sudut pementasan agar ia seimbang bagi memberi kepuasan kepada penonton untuk mendengar dan merasa persembahan Vito IL MAFIOSO.



“Ruang pentas digunakan sebaiknya dengan pementasan seni. Sesetengah teater menitikberatkan persembahan semata-mata, namun G-Tel menyeimbangkan semua sudut dengan seni dan persembahan,” katanya.



Kumpulan yang ditubuhkan pada 1996 itu pernah menjuarai beberapa pertandingan teater pada 2008 hingga 2012 antaranya ialah pertandingan kelolaan MAKUM 2008, Festival Sabah 2001 - 2012 dan Festival DEKON MAKUM 2012.



Mereka juga pernah memenangi pertandingan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah serta menyertai Festival Teater Kebangsaan pada 2001, 2004 dan 2012 dan yakin mampu menyaingi kumpulan teater dari negeri lain.

 
Author: 
Erdiehazzuan Ab Wahid
Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Friday, October 3, 2014