Mengangkat elemen tradisi Kedah

 

 

Sebaik sahaja pentas digelapkan tepat pada pukul 9 malam, alunan muzik tradisional seperti rebana dimainkan serentak dengan kemunculan protagonis, Putera Cahaya Bulan.

Protagonis tersebut memperkenalkan diri dengan persembahan nyanyian dalam bahasa Kedah Tua dalam teater tradisional mek mulung di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Memegang watak utama apatah lagi sebagai seorang putera tidaklah semudah yang disangkakan.

"Saya perlu lebih fokus setiap kali melakonkan adegan yang mencuit hati," ujar Azharudin Ramli, 31, yang lebih mesra dikenali sebagai Arja Lee.

Dia terpaksa menahan diri daripada ketawa ketika berlakon dan ia merupakan cabaran kedua terbesar dalam memegang watak protagonis itu.

"Kami perlu menghayati watak, menari, menyanyi malah bertutur dalam bahasa Kedah Tua," ujarnya kepada Kosmo! selepas tamat pementasan baru-baru ini.

Bahasa Kedah Tua merupakan bahasa baku lama yang kini jarang digunakan oleh warga Kedah sendiri.

Antara contoh ayat dalam bahasa Kedah Tua ialah dok tak dok hampa choih mai tang ni yang bermaksud tiba-tiba sahaja kalian ada di sini. Choih adalah satu ekspresi terkejut atau secara tiba-tiba.

PENDUDUK diarahkan untuk berjaga selama tujuh hari tujuh malam demi mempertahankan keselamatan negara.

 

Cabaran utama

Pembelajaran bahasa Kedah Tua merupakan cabaran utama bagi Arja kerana anak kelahiran Kuala Lumpur itu tidak mahir bertutur dalam loghat Utara walaupun ibunya berasal dari Pulau Pinang.

Namun, demi menjayakan teater itu, Arja tekun mempelajari bahasa tersebut setiap hari selama sebulan, sebelum teater mek mulung membuka tirai kepada penonton.

Mek mulung merupakan sebuah persembahan tradisional gabungan muzik, lakonan, nyanyian dan tarian.

Mek mulung juga merupakan himpunan 20 hikayat klasik, namun hanya beberapa cerita yang masih dikekalkan dan salah satunya ialah Putera Cahaya Bulan.

Kisah Putera Cahaya Bulan mempunyai 15 babak yang merangkumi peperangan, penculikan, percintaan dan komedi.

Permulaan cerita, Puteri Nang Mara bermimpi mengenai seekor burung yang hinggap di tangannya tetapi terbang sebelum puteri tersebut dapat mengusapnya.

Sesudah terjaga, puteri tersebut ingin mendapatkan penerangan mengenai mimpi itu dan bercerita kepada kekasihnya, Putera Cahaya Bulan.

Putera Cahaya Bulan segera mengarah Awang Selamat dan Awang Pengasuh untuk mencari Wak Nujum.

Menurut tilikan Wak Nujum, kerajaan Putera Cahaya Bulan berada dalam bahaya dan bakal diserang musuh, Raja Gergasi.

Putera Cahaya Bulan kemudiannya mengarahkan semua penduduk untuk berjaga selama tujuh hari tujuh malam demi keselamatan negara.

Licik

Namun, Raja Gergasi mempunyai rancangan yang licik dengan menggunakan seruling ajaib.

Alunan seruling tersebut berjaya menidurkan penduduk-penduduk istana termasuklah Putera Cahaya Bulan.

Raja Gergasi segera bertindak untuk membunuh putera tersebut ketika dia sedang tidur.

Mayat Putera Cahaya Bulan dimakamkan di dalam keranda emas dan dihanyutkan ke sungai manakala Puteri Nang Mara pula menjadi tahanan Raja Gergasi.

Dua tabib, Epong dan Edeng menjumpai keranda emas itu dan bertindak untuk menyelamatkan putera tersebut menggunakan jampi.

Setelah berjaya, Putera Cahaya Bulan mengatur langkah untuk menyelamatkan kekasihnya dan akhirnya, mereka berjaya mengembalikan keamanan.

Teater tradisional mek mulung merupakan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah buat julung-julung kalinya dengan kerjasama Persatuan Penggerak Warisan Budaya Negeri Kedah (Akrab) dan Istana Budaya.

Persembahan itu berlangsung selama dua hari iaitu pada 28 Februari dan 1 Mac lalu pada pukul 9 malam dan 3 petang.

Teater yang berdurasi hampir dua jam mengenakan bayaran masuk RM23, RM53 dan RM83 seorang.

Teater tersebut dibintangi oleh pelakon-pelakon terkenal seperti Azharudin, Izreen Azminda Azman, Hairi Safwan dan Shamsun Nadia sebagai Puteri Nang Mara.

Selain itu, pementasan teater tersebut tidak akan berjaya tanpa penggerak-penggerak utamanya iaitu pengarah teater bersama daripada Akrab dan JKKN Kedah, Saipol Bahari Mohd. Iman dan Zulkarnain Ramly serta pewaris-pewaris mek mulung, Saad Taib dan Ahmad Shahadan.

Sementara itu, pengarah teater JKKN Kedah, Zulkarnain Ramly berkata, teater tersebut masih mengekalkan sifat tradisional walaupun ia mempunyai elemen komedi.

KESEMUA pelakon, penari dan pemuzik dalam teater tradisional mek mulung berlatih setiap hari untuk menjayakan watak masing-masing

 

Sengau

Antara elemen komedi yang terdapat dalam persembahan itu ialah suara sengau yang dimainkan oleh Izreen Azminda dan bahasa Inggeris.

"Kami sengaja mengisi elemen komedi supaya teater tradisional seperti mek mulung tak lapuk dek zaman.

"Penonton akan bosan jika ia adalah 100 peratus teater tradisional," ujarnya.

Zulkarnain menambah, elemen komedi dan isu semasa diselitkan dalam pementasan itu bertujuan untuk memberikan plot cerita yang lebih menarik.

"Kami turut menyediakan sari kata supaya penonton faham bahasa Kedah Tua yang digunakan," katanya.

Seorang penonton, Nurul Safirah Norazizi, 24, berkata, dia tidak sangka teater itu mempunyai babak-babak yang mencuit hati.

"Saya paling suka melihat watak-watak Awang kerana mereka menyanyikan lagu Awak Kat Mana oleh Taufik Batisah dan Sakitnya Tuh Disini oleh Cita Citata dengan gelagat yang lucu," katanya dengan senyuman.

Sementara itu, seorang lagi penonton, Sharifa Nurliliyana Abd. Karim, 24, begitu teruja kerana ia merupakan pengalaman pertamanya menonton teater tradisional di Istana Budaya.

"Saya masih boleh memahami jalan cerita mek mulung walaupun tidak berapa faham bahasa Kedah Tua," ujarnya yang meminati babak pertarungan antara Putera Cahaya Bulan dan Raja Gergasi.

Mesra dipanggil Lili, teater tradisional yang mempunyai elemen tambahan seperti lawak jenaka sedikit sebanyak dapat menarik minat penonton generasi muda.

"Saya yakin dengan kaedah ini, golongan muda akan lebih tertarik untuk menonton teater-teater tradisional," ujarnya.





Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0318&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz3UgiDLzvv 

Hakcipta terpelihara 

Akhbar: 
Kosmo!
Publish date: 
Wednesday, March 18, 2015