Memeriahkan boria

SEBUT saja boria, pasti ramai terbayangkan Pulau Pinang. Justeru, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) bersama Kementerian Pelancongan Malaysia tampil menganjurkan Festival Boria 1Malaysia yang dikelolakan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

 

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Datuk Norliza Rofli, berkata teras pengisian festival boria berkenaan bertujuan mengeratkan perpaduan kaum yang sedia terjalin agar bertambah kukuh.

 

“Ini sejajar misi negara bagi menyatukan kaum melalui budaya dan meningkatkan ekonomi masyarakat setempat,” katanya.

Mengimbas sejarah kedatangan boria, Norliza berkata, ia dikatakan berasal daripada cabang kesenian Parsi dan dibawa ke rantau ini oleh pedagang berketurunan India.

“Secara umumnya, persembahan boria dibahagikan kepada dua iaitu pementasan pada hari-hari biasa yang dikenali sebagai kuli-kalin. Ia diadakan khusus pada lima hari pertama bulan Muharam dalam kalendar Islam.

“Persembahan itu biasanya diadakan pada waktu tengah hari hingga sekitar jam empat petang.

“Persembahan kedua pula diadakan khusus pada majlis tertentu. Setiap pelakon, penyanyi dan penarinya akan memakai topeng, mewarna wajah dengan pelbagai gaya.

“Pakaian dan corak hias wajah itu dipengaruhi oleh imej tradisi Parsi. Ia juga menyelitkan elemen lucu.

“Pendekatan ini bertujuan menarik serta menghiburkan penonton.

“Dari segi struktur persembahan, boria ada dua segmen iaitu sketsa dan nyanyian.

“Nyanyian boria diketuai oleh seorang tukang karang.

“Rangkap karangan boria pada hujung suku katanya mestilah sama pada setiap rangkap dengan jalan cerita sketsa yang dipersembahkan. ‘Sailor’ sekitar enam orang di belakang tukang karang pula akan menyanyi dengan mengulangi rangkap pertama nyanyian tukang karang tadi.

“Boria kemudian terus diminati masyarakat bukan saja di Pulau Pinang, tetapi disebar luas terutama ke negeri di utara semenanjung.

“Namun, kesenian ini terus memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak agar ia terus kekal sebagai warisan untuk generasi seterusnya.

“Atas tanggungjawab itulah festival boria ini bertemakan 1Malaysia,” jelasnya.

Acara utama adalah pertandingan boria yang terbahagi kepada kategori kanak-kanak (7-12 tahun), remaja (13-20 tahun) dan terbuka bagi dua daerah iaitu Bahagian Pulau dan Seberang Perai.

Selepas beberapa saringan yang diadakan pada awal Mac, pertandingan akhir akan diadakan di padang Kampung Seronok, Pulau Pinang pada dua sesi iaitu jam 9 pagi-6 petang untuk saringan dan 8.45 malam-11 malam untuk final mengikut kategori iaitu kanak-kanak pada hari ini (27 April), remaja (28 April) dan terbuka (29 April).

Pemenang bagi setiap kategori akan menerima hadiah yang berbeza nilainya iaitu johan kategori kanak-kanak (RM3,000, trofi & sijil), remaja (RM3,500, trofi & sijil) dan terbuka (RM5,000, trofi & sijil).

Naib johan kategori Kanak-Kanak akan menerima RM2,000 serta trofi & sijil, remaja (RM2,500, trofi & sijil) dan terbuka (3,500, trofi & sijil).

Tempat ketiga kategori kanak-kanak menerima RM1,000 berserta trofi & sijil, remaja (RM1,500, trofi & sijil) dan terbuka (RM2,500, trofi & sijil).

Selain pertandingan, pelbagai acara sampingan serta pameran membabitkan jabatan dan agensi kerajaan juga akan diadakan.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah untuk Festival Boria 1Malaysia akan dilakukan Menteri Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen pada 30 April ini, jam 8.45 malam.

Bagi menghiburkan penonton, artis terkenal turut diundang.

Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Wednesday, April 27, 2011