Medan serlah bakat seni tari

 

Tarian tradisi mahupun etnik melambangkan warisan bangsa dan identiti sesebuah negara. Rutin dalam gerak tarinya dipersembahkan bukan kosong, tetapi ada isinya iaitu menceritakan sifat majmuk masyarakat, cara hidup sesebuah kaum termasuk pakaian, makanan, adat resam dan seni.

Atas sebab ini pentingnya tarian tradisi ini terus dipelihara.

Ia juga mendorong Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menganjurkan Festival Tari Malaysia 2013 (FESTARI) bermula Khamis hingga Sab-tu ini di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur jam 8.30 malam.

Ketua Pengarah JKKN Datuk Norliza Rofli berkata, pihaknya amat menggalakkan karyawan seni tempatan untuk terus berkarya dan bereksprimentasi di samping membantu memberi nilai tambah terhadap penciptaan kreativiti mereka supaya sejajar dengan arus pemodenan.

Mengikuti peredaran semasa tiada salahnya asal tidak meminggirkan seni tradisi yang menjadi lambang jati masyarakat. Memeliharanya inilah antara usaha giat dijalankan JKKN.

Kami sentiasa mencari inisiatif untuk memberi nilai tambah, pembaharuan ke arah transformasi dan menjadi pemangkin kepada perkembangan seni budaya tanah air dalam mengiktiraf karyawan seni budaya tempatan dengan menyediakan landasan untuk mereka mempersembahkan karya bermutu dan dihayati bersama,” katanya.

Beliau berkata, FESTARI kali ini membawa satu kelainan dengan memberi peluang kepada generasi muda untuk menyerlahkan bakat bukan saja dalam bidang tradisional seperti kelaziman-nya, malah memberi peluang untuk mendedahkan bakat dalam genre tarian moden seperti street dance, hip hop, ballet, kontemporari, jazz, line dance, tap, bally, lyrical dance dan banyak lagi genre tari moden lain yang bersesuaian.

Sebanyak 16 kumpulan bersaing dengan lapan daripadanya adalah kategori tradisional manakala selebihnya kategori moden. Persaingan kategori tradisional berlangsung Khamis dan diikuti keesokan harinya untuk kategori moden.

Untuk kategori tradisional, lapan kumpulan yang terpilih berentap di peringkat saringan adalah Rentak (mewakili Selangor), Sri Tunas Petra (Sarawak), Badan Kesenian Tentera Laut (Perak), Prima Dansa (Unitar, Sabah), Nyala Dance Theatre (KL), Warisan Seni Negeri Sembilan, Busak Lawai (Sabah) dan Anak Dalam Gading (Sarawak).

Kategori moden pula menyaksikan pembabitan kumpulan Humble First (Perak), Kitta Move (Sabah), Destar Limar (UPSI, Perak), Luv Dance Group (Pulau Pinang), Stop Reverse Crew (Melaka), Deekizzboyz Featuring AC Crew (Sabah) Zainoren Zainudin (KL) dan Hellecton (Sabah).

Sebahagian kumpulan dan peserta yang terpilih kali ini terdiri daripada peserta Uji Bakat ‘Jom Menari’ yang diadakan di seluruh negara pada April hingga Jun lalu.

Malam kemuncak FESTARI iaitu Sabtu ini, lapan kumpulan bakal berentap dengan empat mewakili kategori moden dan empat lagi kategori tradisional.

Juara bagi setiap kategori bakal menerima RM10,000, trofi dan sijil penyertaan. Manakala naib juara menerima RM8,000, Kumpulan Harapan (RM5,000), Koreografer Terbaik dan Busana Terbaik masing-masing bakal memenangi (RM3,000).

Menghangatkan lagi suasana malam kemuncak FESTARI, persembahan daripada kumpulan One Nation Emcees dan penyanyi etnik kreatif, Noraniza Idris termasuk Aswara Dance Company, Wakaka Crew, Kumpulan Kesenian JKKN dari Ibu Pejabat, Selangor dan Wilayah Persekutuan KL.

Acara ini terbuka kepada orang ramai dan mereka dijemput hadir untuk menyaksikan FESTARI kerana tiada bayaran dikenakan. Kami amat berbesar hati dengan kehadiran anda kerana ini juga satu bentuk sokongan dalam usaha mengekalkan warisan bangsa,” katanya.

Author: 
Norhadiani Baharom
Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Tuesday, December 3, 2013