Maya dalami makyung

PENGGUNAAN dialek Kelantan dalam pementasan makyung bertajuk Dewa Indera Indera Dewa menjadi satu cabaran baru bagi artis wanita serba boleh, Meyanaliza Rosli (Maya) sebaik menerima tawaran membawa watak sebagai Puteri Selindungan Daun.

 

Sebelum ini, Maya hanya dikenali sebagai penyanyi dan pelakon, namun dengan pembabitannya di dalam pementasan makyung, dia sekali lagi perlu mendalami ilmu tarian dan pertuturan menggunakan dialek negeri Cik Siti Wan Kembang itu bagi membawa watak yang diberikan.

 

Menurutnya, bukan mudah untuk membawa tiga elemen iaitu tarian, berdialog dan nyanyian di dalam pementasan makyung kerana cabaran amat besar terutama pada percakapan yang menggunakan dialek Kelantan.

 

“Bagi membawa watak dengan lebih berkesan, fokus 100 peratus diperlukan, malah sehingga waktu rehat atau sebelum ke lokasi latihan, saya masih menghafal dialog dalam dialek yang perlu dibawa.

“Ada kalanya saya bercakap seorang diri dalam usaha untuk fasihkan sebutan dalam dialek Kelantan yang saya rasai mendatangkan sedikit masalah kepada saya yang berasal dari Johor,” katanya.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Matahari tidak lama dulu, masih banyak yang perlu dipelajari dalam seni makyung terutama mengenai falsafah makyung itu sendiri yang luas skop budaya dan jalan penceritaannya.

Katanya, dia juga masih terkejut dengan apa yang dilakukannya itu dan dalam tempoh sebulan, dia terpaksa membahagikan masa dengan menjalani latihan makyung di Istana Budaya selain terikat dengan jadual kerja yang ketat.

“Ada juga rakan artis lain yang terkejut dengan penampilan baru saya ini kerana mula berkecimpung di dalam persembahan makyung yang rata-rata melihat sukar untuk dibawa memandangkan persembahan memerlukan tarian, nyanyian dan percakapan menggunakan dialek negeri tertentu,” katanya.

Menurutnya, dia berharap peminat dan penonton dapat menerima gaya persembahan yang dibawanya berikutan ini kali pertama dia menjayakan persembahan makyung yang dilihat baru dalam kariernya sebagai artis.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan (Penyelidikan dan Pembangunan) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Rosnan Rahman berkata, pemilihan Maya dilihat pemang?kin bagi artis lain untuk turut sama berkecimpung di dalam dunia makyung.

“Kembara Warisan Dunia ‘Sri Nilam Istana Budaya’ bermula sejak 2006, selain mengadakan pementasan di dalam negara kumpulan ini turut membuat persembahan antaranya di Amerika Syarikat dan Paris.

“Seni makyung sudah diangkat sebagai warisan dunia oleh Unesco (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan pementasan yang dilakukan di lokasi terpilih termasuk di Auditorium Taman Budaya, Kuala Ibai, Kuala Terengganu iaitu salah satu cara mempromosikan makyung kepada segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Menurutnya, pementasan makyung Dewa Indera Indera Dewa, mengisahkan dua beradik anak raja iaitu Dewa Indera yang wataknya dibawa Rosnan dan Indera Dewa dibawa oleh Siti Norhabshah Sheikh Ahmad yang pergi berburu di dusun lama pusaka peninggalan ayahanda dan bonda mereka sebelum bertemu Puteri Selindungan Daun yang wataknya dibawa oleh Maya sebelum bermula kisah yang ditempuhi mereka.

Katanya, pementasan Dewa Indera Indera Dewa adalah arahan bersama dia dan Fatimah Abdullah iaitu adik ipar kepada Seniman Negara, Allahyarhaman Khatijah Awang yang dilahirkan dalam lingkungan kumpulan makyung dan bangsawan.

Rosnan berkata, pihaknya berharap penggiat makyung di negara ini khususnya di Kelantan dan Besut, Terengganu meneruskan legasi persembahan makyung bagi tatapan generasi muda.

Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Thursday, May 10, 2012