Malam Gala Inspitari meriah

(Persembahan pembukaan yang dramatik memeriahkan lagi Malam Gala Inspitari 2011)

 

INSPITARI 2011 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang baru berakhir minggu lalu, berjaya mendapat sambutan menggalakkan daripada penggemar tarian berunsur tradisional dan kemasyarakatan.

 

Ekoran itu, atas permintaan ramai, pihak pengajur terpaksa mengadakan satu lagi persembahan pada hari yang sama selepas para peserta diberikan masa setengah jam untuk berehat.

 

Bertempat di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang, Kuala Lumpur, para penggemar seni tari ternyata berpuas hati dapat menyaksikan persembahan yang memukau lagi menghiburkan itu

.

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli berkata, Inspitari akan terus menjadi program teras JKKN bagi menarik minat generasi muda untuk terus mendokong semangat budaya bangsa.

 

"Dengan adanya program ini, generasi muda yang mungkin tidak berapa mengenali seni tarian berbentuk tradisional akan terdedah dengan keindahan dan kesenian yang ditonjolkan.

 

"Justeru, pada Inspitari 2010, persembahan dan idea tari yang baru dan segar telah berjaya menarik minat generasi muda untuk menghargai seni budaya," katanya dalam ucapan sebelum persembahan bermula.

 

Dalam ucapannya, Norliza menambah, program yang diperkenalkan pada tahun lalu itu merupakan satu usaha JKKN ke arah melahirkan karya dan produk baru dalam bidang tari.

 

Katanya, ia selaras dengan usaha untuk menghasilkan bidang tarian ke arah lebih dinamik dan segar tanpa menghilangkan identiti budaya dan bangsa.

 

Beliau menambah, Inspitari yang diadakan pada tahun ini, bertemakan Pencarian Tari Kreasi Baru, turut menguji kreativiti koreografer dalam mempersembahkan tarian yang kreatif, moden dan unik selain mengekalkan ciri-ciri tradisional dan budaya berasaskan aktiviti masyarakat tempatan.

 

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan,Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berpendapat, Inspitari tidak akan melupakan budaya bangsa walaupun telah mengalami proses evolusi.

 

Beliau berkata, adalah penting untuk mengekalkan identiti masyarakat setempat dalam tarian moden yang kreatif.

 

"Program seperti ini pastinya memberikan impak yang positif kepada jiwa generasi muda supaya anak muda kita tidak melupakan budaya serta jati diri bangsa.

 

"Harapan kami, program seperti ini dapat menyuntik semangat dan hala tuju yang positif agar warisan budaya kita tidak tenggelam dalam arus pemodenan," ujarnya

.

Kamaruddin turut menambah, seni tari bukan sahaja satu budaya warisan tetapi juga satu medium untuk menyatupadukan masyarakat.

 

Sebanyak 15 kumpulan tarian membabitkan 15 koreografer dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak mengambil bahagian.

 

Ini termasuk 236 penari daripada Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (KKJKKN) terlibat dalam persembahan tersebut.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Tuesday, November 8, 2011